Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
2 AJK Karyawan dilantik sertai pasukan petugas isu royalti

Dua Ahli Jawatankuasa Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dilantik oleh kerajaan menganggotai Jawatankuasa Petugas Royalti dan Hak Cipta Industri Muzik.

Karyawan dalam kenyataan memaklumkan, surat pelantikan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertarikh 25 Julai lalu menamakan presiden persatuan itu, Freddie Fernandez, menyertainya bersama penyanyi, Noorshila Amin.

Sementara itu Freddie menjelaskan mereka akan memfokuskan tugas-tugas berkaitan sistem dan kaedah baru berhubung pengagihan royalti sepanjang tempoh menganggotai jawatankuasa berkenaan

“Kami akan memberikan cadangan merangkumi sistem dan kaedah baru untuk menentukan artis mendapat hak mereka, sama dengan pemilik-pemilik lain seperti komposer, penerbit, dan syarikat rakaman,” katanya.

Menurut Freddie, industri muzik khususnya artis rakaman berdepan masalah dengan kutipan royalti dan kemelut itu masih berpanjangan sejak 23 tahun lalu.

Katanya, hal itu berlaku selepas Akta Hak Cipta 198 dipinda pada tahun 2000 untuk memberi hak kepada pelaku (artis) mengutip royalti.

“Walaupun sudah ada tiga badan yang ditubuhkan untuk mewakili artis tapi hingga kini ramai artis masih lagi tertanya-tanya tentang royalti mereka, dan ada ramai lagi yang mengadu tidak dapat apa-apa royalti sehingga sekarang.

“Justeru, dengan pelantikan Karyawan sebagai ahli jawatankuasa berkenaan, kami rasa akan dapat mainkan peranan berkesan untuk mencari penyelesaian kepada semua masalah yang wujud sekarang,” ujarnya.

Baru-baru ini, penyanyi legenda Shima mengadu, selepas menjadi ahli kepada salah sebuah badan kutipan royalti pada dua tahun lalu, dia masih belum menerima sesen pun hasil royalti hingga sekarang.

Sementara itu, Noorshila yang juga terkenal melalui lagu Rambu Ramba berkata, pelantikan itu satu langkah positif daripada pihak kerajaan bagi menyelesaikan isu berbangkit.

“Saya mengucapkan kesyukuran dan mengucap terima kasih kepada KPDN atas pelantikan ini.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk menentukan segala cabara cabaran yang ada diatasi secepat mungkin supaya hak rakan-rakan artis dipelihara dan semua akan dapatkan manfaat dari penyelesaian itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS