Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jasmine rasa macam Puteri Bollywood pakai gaun seksi
Diterbitkan:  Aug 3, 2023 6:26 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Pelakon dan model, Jasmine Suraya enggan mengambil pusing kecaman berhubung gaun seksi bernilai puluhan ribu ringgit yang dipakainya sewaktu menghadiri sebuah majlis anugerah baru-baru ini.

Kata Jasmine, gaun itu direka khas buatnya oleh seorang pereka tempatan - yang juga pernah mencipta baju untuk penyanyi Ariana Grande - membuatkan dia membayangkan dirinya seperti “Puteri Bollywood.”

“Gaun ini direka khas untuk saya dan anda tidak akan dapat saksikannya disarungkan oleh orang lain.

“Materialnya adalah seratus-peratus kain sutera serta butiran hiasannya dijahit dengan tangan.

“Saya sukakan rekaannya yang juga menampilkan helaian cape yang meleret panjang, rasa macam Bollywood princess bila berjalan di atas karpet merah,” katanya.

Ditanya mengenai cemuhan yang diterima kerana menggayakan gaun itu, jelas Jasmine setiap individu berhak melontarkan pandangan mereka.

“Saya dah baca setiap komen positif mahupun negatif tentang baju itu. Saya sebenarnya gembira juga bila dapat banyak pujian dan teruja apabila visi saya dan pereka dapat dijayakan dengan terhasilnya gaun yang cukup indah ini,” katanya.

Terdahulu, Jasmine atau nama sebenarnya Jasmine Chin Xian Mei mencetuskan kontroversi apabila menggayakan sebuah gaun malam elegan yang dikatakan terlalu seksi.

Hal itu mengundang kecaman, apatah lagi ramai menyangka dia beragama Islam.

Jasmine, 33, memperagakan gaun malam rekaan pereka fesyen terkenal, Ivan Young ketika menghadiri satu acara anugerah iaitu Malaysia International Film Festival.

Dalam perkembangan lain, Jasmine berkongsi dia kini bekerja keras untuk menambah baik kemahiran lakonannya.

“Saya ingin melakukan lebih banyak peranan yang pelbagai dan matang untuk bergerak ke hadapan. Misi saya mahu bekerjasama dengan ramai penggiat filem tidak kira lokal dan antarabangsa.

“Saya mahukan naskah di luar kotak, yang mungkin sedikit provokasi dengan jalan cerita yang menarik,” kata Jasmine.

Jasmine turut berkongsi yang dia bakal menjayakan sebuah filem terbitan produksi antarabangsa tidak lama lagi, namun enggan mendedahkan butiran naskhah itu lebih lanjut buat masa ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS