Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Marsha Milan berlakon bukan untuk jual wajah semata-mata

Penyanyi dan pelakon terkenal Marsha Milan tidak terkilan apabila diminta menggalas watak hantu berkali-kali meskipun karakter sedemikian tidak menonjolkan wajahnya yang asli.

Sebagai pelakon, katanya, dia tidak mahu bersandarkan pada rupa paras semata-mata sebaliknya ingin mengetengahkan kemampuan menghidupkan sesuatu watak yang membekas di hati penonton.

“Watak hantu - walaupun tidak menampakkan wajah sebenar seseorang pelakon - tetap menarik untuk dijayakan sebab ada keseronokan di situ. Jadi, saya tak kisah untuk lakonkan lagi watak hantu.

“Saya pun tak nak asyik beri lakonan yang bergantung pada wajah semata-mata. Saya berlakon bukan untuk jual wajah tapi cari kepuasan sebagai pelakon.

“Justeru, mana-mana pelakon juga harus mempelbagaikan watak yang diterima supaya boleh meningkatkan kredibiliti mereka dalam seni lakonan,” katanya.

Biarpun kurang yakin dengan persembahannya sebagai Melor dalam filem Rahsia, Marsha, 37, yakin setiap watak yang diberikan kepadanya mempunyai potensi tertentu.

Katanya semasa menerima skrip filem seram itu dia terus berasa gemuruh.

Hal itu kerana dia terfikir bagaimana untuknya memberikan kelainan pada watak hantu kali ini.

"Walaupun dah pernah beberapa kali membawa watak hantu, saya yakin karakter dalam Rahsia pasti ada potensi,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton Rahsia di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur kelmarin.

Rasa ‘seram’ lihat Nabila

Rahsia versi reboot arahan Shamyl Othman itu bakal menjengah pawagam bermula 10 Ogos ini.

Selain Marsha turut menjayakan naskhah berkenaan ialah Nabila Huda, Eman Manan, Fikry Ibrahim, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, dan Rashidi Ishak.

Versi asal Rahsia yang diarahkan bapa Shamyl, Othman Hafsham, merupakan filem seram pertama dinobatkan pemenang Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ketujuh (FFM7) pada 1987.

Selain itu, Rahsia versi asal itu turut membolot tujuh anugerah dalam kategori lain termasuk kategori pengarah terbaik.

Rahsia versi reboot pula membongkar sejarah silam sebuah keluarga.

Ramlah pulang bercuti ke rumah ayahnya, Tan Sri Karim bersama suami, Hamdan dan anak-anak iaitu Marina serta Saiful. Keadaan menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba lesap sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.

Mengulas kerjasama dengan bintang utama Rahsia, Nabila, 38, Marsha mengakui terbit perasaan 'seram' apabila bergandingan dengan pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu.

Marsha mendedahkan, pada awal masuk ke set penggambaran, dia tidak menjangka akan berdepan dengan situasi 'menakutkan' apabila melihat Nabila atau mesra disapa Abil itu.

“Ingatkan masuk set hari pertama bolehlah gembira-gembira, sekali apabila nampak Abil, alamak she is so in character, sampai saya takut nak tegur dia.

"Dia pula asyik pandang cermin saja waktu itu.

“Tapi lepas habis penggambaran, Abil datang hampiri saya dan minta maaf serta jelaskan dia perlu beri komitmen," katanya.

Tambah Marsha dia bukan seorang kawan yang mudah terasa dan memahami tidak mudah untuk kekalkan emosi yang dibina sebelum memulakan penggambaran.

Disebabkan Nabila juga, Marsha turut mengakui dia berasa malu berhadapan dengan pelakon yang terkenal dengan kredibilitinya itu.

“Mana taknya, kadangkala terfikir adakah lakonan saya cukup baik? Jadi ya, memang ada perasaan malu apabila bergandingan dengan pelakon seperti Abil,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS