Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pitam menunggu, pembeli tiket termahal Muse rasa kena 'scam'
Diterbitkan:  Aug 1, 2023 10:55 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Pelbagai isu rupa-rupanya timbul pada hari berlangsungnya konsert jelajah Muse: Will of the People World Tour yang diadakan pada 29 Julai lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Melalui sebuah kenyataan dikongsikan penganjur, Hello Universe Malaysia memaklumkan kelewatan kumpulan rock itu memulakan persembahan berpunca isu berkaitan faktor keselamatan.

“Kami sahkan persembahan pada Sabtu lalu terlewat bagi memastikan keselamatan setiap penonton terjamin. Terdapat kelewatan trafik antara jam 8.15 ke 8.45 malam.

“Jadi kami putuskan untuk beri lebih masa di pintu masuk supaya penonton tak berasak-asak dan dapat dikawal sebaik mungkin,” katanya.

Hello Universe Malaysia menjelaskan, ada isu kecil turut berlaku di bahagian penghadang di zon C stadium berkenaan justeru penganjur memerlukan lebih masa untuk mengatasinya.

Katanya ia berlaku kira-kira jam 8.45 malam dan masa antara 10 hingga 15 minit doperlukan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Tambah Hello Universe Malaysia mereka sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan ia menjadi keutamaan dalam setiap konsert yang diadakan.

“Kelewatan itu juga sebahagiannya disebabkan pihak produksi perlu memastikan laluan selamat untuk Muse memasuki pentas sebelum mulakan persembahan,” kata syarikat itu lagi.

Menurut penganjur itu, konsert yang berakhir kira-kira jam 11.30 malam itu dihadiri seramai 53,000 penonton.

Pada konsert itu, Muse yang dianggotai vokalis Matt Bellamy, Christopher Tony Wolstenholme (basis) dan Dominic Howard (dram) mempersembahkan kira-kira 20 lagu termasuk Madness, Time Is Running Out, Will Of The People, Kill or Be Killed, Supermassive Black Hole dan Thought Contagion.

Sebelumnya penganjur menukar lokasi konsert dari Bukit Kiara Equestrian Resort ke SBNJ atas beberapa faktor termasuk bagi menyesuaikan jumlah penonton yang lebih ramai.

Untuk rekod, pada hari sama juga turut berlangsung sebuah lagi acara bersebelahan dengan SBNJ, iaitu Great British Circus.

Sebagai respons, di ruang komen posting berkenaan ramai pembeli tiket hadir meluahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kelewatan tersebut.

Syak ada tunggu seseorang

Disebabkan terlalu lama menunggu, ada beberapa peminat Muse yang didakwa pitam.

“Tiada empati kepada peminat yang terpaksa berdiri lebih sejam. Sekurang-kurangnya sediakan air. Kira-kira empat orang pitam di zon B,” kata seorang pengguna.

Kenyataan itu kemudian disokong oleh seorang lagi pembeli tiket yang menyatakan dia juga hampir pitam sebelum ada peminat lain yang menghulurkan kipas.

Segelintir pembeli tiket pula mempersoalkan tindakan penganjur menyalahkan kesesakan lalu lintas sebagai alasan konsert tersebut lewat dimulakan.

“Kesesakan lalu lintas apa? Penonton stadium itu tak sampai separuh pun. Jadi siapa yang kamu tunggu sebenarnya?

“Tiada penganjuran konsert harus membuat orang ramai menunggu kecuali untuk seseorang yang penting,” katanya.

Segelintir pembeli tiket zon D pula meluahkan kekecewaan selepas berdepan pengalaman yang dianggap merugikan.

Rata-rata mereka berasa ibarat ‘diperdaya’ untuk membeli tiket antara paling mahal berjumlah RM950 di zon berkenaan tetapi akhirnya terpaksa berdepan kekecewaan.

“Hello penganjur, separuh daripada kami di zon D tak nampak langsung atau nampak sipi-sipi je di skrin. Tak kena langsung dengan jumlah tiket yang kami bayar.

"Sebahagian besar daripada kami adalah peminat yang membeli tiket terawal Muse sewaktu lokasi masih bertempat di Bukit Kiara Equestrian.

“Tukar lokasi, terus hampeh (tak guna). Korang quality control dulu tak sebelum ambil keputusan nak campak di mana?” soal seorang pengguna alam maya.

Selebihnya pula menyatakan tidak berpuas hati dengan senarai lagu yang dikatakan terlalu sikit malah tidak berbaloi dengan apa yang dibayar.

Seorang daripada pembeli tiket itu menuntut ganti rugi untuk separuh daripada wang dibelanjakan pada konsert berkenaan berikutan pengalaman yang membawa penuh sesalan itu.

“Saya pernah menghadiri enam konsert Muse di tempat lain dan saya yakin ini adalah konsert dengan set lagu yang paling sikit pernah mereka persembahkan.

“Saya menantikan maklum balas daripada penganjur berhubung perkara ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS