Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pasrah dihina, Mimi Peri rela tak buat pembedahan wajah

Walaupun tidak ramai yang mempercayai bakatnya boleh diketengahkan hingga ke luar negara, pencipta kandungan media sosial dari Indonesia, Mimi Peri, kini boleh berbangga selepas impiannya untuk menjadi pelakon direalisasikan penerbit Malaysia.

Kata Mimi Peri, persona yang sering dibawa di media sosial dan wajahnya yang kurang komersial menyebabkan dia dulu sering dibuli, dipandang rendah dan dilempar kata-kata hinaan.

Namun, menurut pemuda kelahiran Kendari di Sulawesi Tenggara itu, dia tidak pernah berputus asa untuk terus berusaha mencipta nama.

“Ramai yang berkata, lelaki lembut seperti saya tak mungkin boleh diterima berlakon filem di Malaysia. Biarlah dihina... Biasalah pembenci (haters) sering menulis sesuatu yang menghina.

“Saya tetap bersyukur dengan kurniaan Tuhan kerana tanpa perlu melakukan sebarang pembedahan pada wajah, saya tetap boleh diterima berlakon filem di luar Indonesia.

“Jadi, bagi saya, tak salah untuk bermimpi mahu jadi apa sekalipun kerana apabila Tuhan mengkehendaki, Dia juga akan memakbulkan,” katanya.

Mimi Peri atau nama sebenarnya Ahmad Jaelani juga yakin, hidupnya yang bermula dengan kemiskinan sebelum berubah sedikit demi sedikit juga adalah berkat doa ibunya.

“Saya sebak kerana seumur hidup tak pernah berpeluang ke luar negara, jadi apa pun terlebih dulu saya mesti minta izin dengan ibu dan minta doanya.

“Alhamdulillah hasrat nak jadi pelakon filem akhirnya dimakbulkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem sulungnya, Mat Tudung Begins, di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Mimi Peri menjadi sohor kini di media sosial selepas kandungan mengajak orang ramai bersahur yang sering dikongsikan di bulan Ramadan tular.

Takut masuk ‘gua’

Aksi kreatif dan lucunya membangunkan netizen untuk bersahur menjadi viral hingga ke negara ini.

Selain Mimi Peri, Mat Tudung Begins turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Achey, Isyariana, Fazlina Ahmad Daud dan Kazar Saisi serta seorang lagi pempengaruh media sosial, Maryam Durian Kimchi.

Filem diarah dan diterbitkan Fizz Fairuz itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 3 Ogos ini.

Mat Tudung Begins berkisahkan Johari (Fizz Fairuz) diminta oleh rakannya, Sabri (Achey) untuk membantu mencari siapakah juri The Forbest - sebuah badan penilai untuk menilai prestasi sesebuah hotel - yang muncul membuat pemeriksaan mengejut di situ.

Johari dan Sabri mula mengesyaki sebuah keluarga yang datang menginap di situ adalah juri The Forbest dan menggunakan kaedah penyamaran sebagai wanita bernama Johana untuk menyiasat dengan lebih lanjut.

Mat Tudung Begins merupakan prekuel kepada Mat Tudung, karya asal diterbitkan Norman Abdul Halim pada 2014.

Mimi Peri berkata, pada awalnya disebabkan terlalu gusar memikirkan bagaimana nasib di Malaysia, dia juga tidak dapat tidur lena selama sebulan.

Bagaimanapun, menurutnya situasi itu berubah selepas dia dapat menjejakkan kaki buat julung kali di Menara Berkembar Petronas.

“Saya mula-mula takut nak keluar negara kerana tak ada pasport. Tapi semuanya dipermudahkan selepas melakukan ikut saranan Fizz Fairuz.

“Disebabkan pertama kali keluar dari kampung halaman, kenderaan memasuki gua (terowong jalan raya), pun saya takut.

“Dan apabila tiba di KLCC, saya diserbu ramai peminat yang ingin merakamkan imej bersama. Saya sangat terharu, selama ini dapat tengok KLCC di kaca televisyen dan media sosial saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS