Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fikry enggan kejar pangkat, elak masuk politik selagi tiada kerja hakiki

Walaupun pernah terfikir untuk berkhidmat demi rakyat, pelakon Fikry Ibrahim tidak mahu tergesa-gesa terjun ke bidang politik selagi dia tiada kerjaya yang “hakiki.”

Katanya, dia enggan menceburi bidang berkenaan dengan merosakkan keadaan seperti segelintir pihak yang sibuk memikirkan soal perebutan jawatan dan juga pangkat.

“Sejujurnya saya ada memikirkan untuk masuk bidang politik dan membantu rakyat kerana kalau tak ada pekerjaan hakiki, seseorang yang masuk bidang politik akan sibuk pasal naik pangkat dan mahukan jawatan sepanjang masa sedangkan tujuan sebenar adalah nak bantu rakyat,” katanya.

Fikry atau nama penuhnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim menetapkan dia hanya bersedia untuk menjadi seorang ahli politik sekiranya sudah memiliki perniagaan yang stabil.

“Sebab itu terlebih dulu yang pertama saya perlu pastikan ialah saya kena usahakan perniagaan sendiri dan menjadikan ia kerja hakiki.

“Saya mesti ada perniagaan yang padu, baru boleh berkhidmat untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman filem terbaru lakonannya Rahsia di pusat beli-belah terkenal di ibu kota baru-baru ini.

Tambah pelakon itu, tidak guna menjadi ahli politik jika mereka sekadar ingin ‘bermain-main.’

“Kenapa boleh jadi demikian? Sebab motivasi diri segelintir pihak yang hanya nak kejar pangkat sebab mereka tak ada kerja hakiki yang boleh menampung kehidupan,” katanya.

Terdahulu menjelang pilihan raya negeri bulan depan, Fikry berpesan agar rakyat melakukan cerminan diri sebelum bertindak menghina mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan mereka.

Kenyatan pelakon itu dibuat secara umum dan turut membabitkan para agamawan, tokoh politik serta pemimpin masyarakat.

“Saya ada masalah dengan segelintir cara pemikiran orang lain. Sekarang buka saja media sosial kita akan terbaca mengenai fikiran seseorang yang terdorong pada perkara tak baik.

“Sebagai rakyat Malaysia kita harus berfikiran terbuka. Kena refleksi diri, insya-Allah negara ini akan jadi lebih baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS