Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sinead O'Connor meninggal dunia 18 bulan lepas kematian anak
Diterbitkan:  Jul 27, 2023 3:36 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Penyanyi legenda Ireland, Sinead O’Connor, yang popular melalui lagu Nothing Compares 2 U meninggal dunia selepas bertahun-tahun bergelut dengan masalah mental.

Sinead berusia 56 tahun.

Berita dukacita itu disahkan anggota keluarganya dalam kenyataan hari ini.

“Dengan penuh rasa sedih kami mengumumkan pemergian cinta kami, Sinead.

“Keluarga dan rakan-rakannya berasa sedih dan memohon agar diberikan ruang untuk berdepan tempoh yang sukar ini,” kata kenyataan itu yang dipetik CNN.

Penyanyi sensasi itu menukar namanya kepada Shuhada’ Sadaqat selepas memeluk Islam pada 2018 tetapi tetap menggunakan nama pentasnya Sinead O’Connor.

Sinead menghembuskan nafas terakhir selepas 18 bulan pemergian anak lelakinya yang berusia 17 tahun, Shane O’Cconnor.

Shane meninggal akibat bunuh diri pada 2022 selepas dia melarikan diri daripada pengawasan hospital.

Bagaimanapun, punca kematian Sinead hingga kini masih belum diketahui.

Album pertama Sinead, The Lion and the Cobra, menerima kritikan selepas diterbitkan pada 1987, tetapi dia menempa nama melalui album keduanya, I Don Not Want What I Haven’t Got.

Nothing Compares 2 U - nyanyian asal Prince - meledakkan lagi nama Sinead apabila lagu itu menjadi hit no 1 pada 1990. Video muzik dia yang muncul dengan rambut pendek memakai baju turtleneck berwarna gelap turut menjadi ikonik ketika itu.

Lagu berkenaan dicalonkan untuk pelbagai anugerah Grammy dan dia memenangi kedua-dua video MTV pada tahun itu termasuk bagi kategori video terbaik oleh artis wanita.

Lagu-lagu lain dalam album sama yang turut mendapat pujian adalah lagu berunsur politik Black Boys on Mopeds.

Nama Sinead mula terjebak kontroversi dan kariernya merudum selepas dia mengoyak gambar Pope John Paul II sewaktu sedang ke udara pada Saturday Night Live pada 3 Oktober 1992.

Tindakan itu dibuat sebagai protes terhadap penderaan seksual di gereja Roman Katolik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pula, penyanyi itu bersikap terbuka berhubung perjuangannya melawan ketagihan dan masalah mental.

Dia juga mendedahkan didiagnos penyakit bipolar dan pernah cuba menamatkan riwayat hidupnya sewaktu hari ulang tahunnya yang ke-33.

Selain Shane, Sinead yang pernah bercerai empat kali meninggalkan tiga anak iaitu penerbit muzik, Jake Reynolds, 36; cef Roisin Waters, 27; dan Yeshua Bonadio, 16.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS