Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shima tak dapat sesen royalti, Karyawan gesa KPDN siasat
Diterbitkan:  Jul 26, 2023 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) kecewa dengan keputusan Tribunal Hak Cipta di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana tidak meneruskan aduan berhubung Recording Performers Malaysia Bhd (RPM).

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata ia disebabkan penyanyi legenda Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman atau Shima antara penghibur yang masih tidak menerima royalti walaupun satu sen.

”Baru-baru ini penyanyi legenda Shima telah membuat kenyataan tak dapat sesen royalti pun walaupun menjadi ahli RPM sejak tahun 2021,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Freddie, tujuan Karyawan memfailkan aduan bertarikh 3 Julai lalu adalah kerana ingin tribunal berkenaan menyiasat sistem pengagihan yang digunakan oleh badan royalti terbabit.

Sebelum ini, katanya, Karyawan menerima banyak aduan daripada ahli-ahli badan berkenaan yang mendakwa mereka tidak mempunyai sistem pengagihan yang telus.

Tambahnya, alasan diberikan oleh Tribunal Hak Cipta untuk tidak meneruskan kes berkenaan adalah disebabkan ia tidak mendapat persetujuan penentang.

Katanya, ia terdapat di bawah Peraturan Tribunal Hak Cipta.

“Mereka beritahu dalam e-mel bertarikh 21 Julai lalu bahawa mereka telah merujuk RPM dan RPM tak setuju untuk kes ini diteruskan.

”Bagi kami ini suatu perkara yang tak masuk akal. Ia ibarat seseorang yang dicuri duitnya dan membuat laporan polis.

“Polis pula pergi tanya pencuri itu jika mereka boleh meneruskan siasatan.

“Apabila pencuri itu kata tak perlu, polis akan tutup kes dan tidak teruskan siasatan,” ujarnya.

Justeru, kata Freddie, dia merancang untuk mengadakan perjumpaan dengan pegawai atasan KPDN bagi memfailkan rayuan.

Jika peraturan Tribunal Hak Cipta itu tak betul, katanya, Karyawan berharap KPDN akan bertindak cepat untuk membetulkan keadaan itu.

“Saya berharap nasib penyanyi seperti Shima dapat dibela dan tindakan cepat dilakukan terhadap RPM,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS