Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bayar pempengaruh mahal, pelakon veteran murah tu biadab - Ellie

Ellie Suriati Omar menganggap pihak yang mengutamakan bayaran tinggi kepada pempengaruh media sosial yang diambil berlakon berbanding pelakon sebenar sebagai tidak beradab.

Kata pengarah, pelakon dan penulis skrip itu, diskriminasi bayaran masih membelenggu segelintir artis veteran dan ia tidak wajar berlaku.

“Saya harap pihak-pihak itu, janganlah beri bayaran rendah kepada pelakon senior dan veteran memandangkan pengalaman luas mereka sebagai anak seni.

“Stesen TV atau syarikat produksi tak patut nak bandingkan atau bayar pempengaruh lebih tinggi berbanding harga seorang pelakon veteran yang berpengalaman... itu biadab namanya.

With all due respect (dengan segala hormat), sila bayar pelakon-pelakon (veteran) ini ikut pengalaman bertahun-tahun yang mereka dah harungi selama ini,” tegas Ellie.

Pelakon Soalnya Siapa itu turut menitipkan pesan kepada pihak yang berkenaan supaya segera menghentikan penindasan seumpama itu, sebaliknya sedia berkongsi rezeki seadanya.

“Kita tak boleh hand-picked orang berbakat, sama juga seseorang penyanyi yang boleh menyanyi dengan baik sudah tentu dia memang mempunyai kebolehan (gifted).

“Jadi, kalau ada rezeki Allah, kenalah kongsi seadanya, jangan bayar kurang (kepada pelakon veteran), itu tak baik," katanya.

Pada masa sama Ellie menegaskan kenyataan itu juga dibuat untuk menjadi peringatan kepada dirinya sendiri jika dia berpeluang menjadi penerbit suatu hari nanti.

Nanti tak dihormati

Dia juga memberitahu, setakat ini belum pernah dia didiskriminasi namun tetap sedih apabila melihat pelakon lain dilayan secara tidak adil.

Ellie, 53, berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan drama-drama terbaru Astro di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Jurulatih lakonan itu buat julung kali bersetuju untuk menjayakan drama rantaian berunsur keagamaan berjudul Tanah Kubur Siri 16 di bawah arahan Rashid Sibir.

Pada majlis sama, Astro turut memperkenalkan karya drama rantaiannya khusus buat golongan muda melalui drama Budak Hostel Otaknya Sewel dan Bukan Cinta Sempurna.

Terdahulu, isu bayaran rendah pernah disuarakan ramai pelakon berkaliber termasuk Jalil Hamid dan Wan Maimunah.

Pada 22 Mac lalu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berjanji untuk meneliti isu pembayaran artis veteran yang menerima bayaran tidak setimpal.

Fahmi Fadzil

Mengulas lanjut Ellie berkata tindakan mengupah pelakon veteran dengan harga rendah sekali gus mengakibatkan segelintir generasi muda berterusan tidak menghormati mereka.

“Ramai orang industri kreatif veteran yang handal-handal, tapi apabila ditawarkan berlakon pada harga sangat rendah, ia menyebabkan pelakon muda berterusan tidak hormat mereka," katanya.

Menurut Ellie lagi seseorang pempengaruh adalah pemain dalam dunia media sosial dan mereka boleh dilatih untuk melakukan tugasan tersebut, sedangkan anak seni memiliki bakat yang tersendiri.

“Saya pernah berlakon dengan pelakon handalan seperti Allahyarham Azean Irdawaty, Ruminah Sidek, Norlia Ghani, Khatijah Tan... takkan saya nak ‘pukul’ harga mereka?

"Itu beza orang-orang (pelakon) dulu dengan sekarang.

“Dulu-dulu, kita tak ada perasaan persaingan, saya juga tak pernah letak perasaan itu sepanjang bekerja atau diberi watak utama.

“Tapi pelakon sekarang mereka tak peduli. Mereka (pempengaruh) minta harga tak masuk akal. Misalnya RM15,000 atau RM20,000 untuk satu telefilem.

"Sedangkan untuk satu telefilem, orang bayar RM100,000, macam mana produksi nak bayar pelakon dan pekerja lain?” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS