Pelakon Ms Puiyi mengakui sukar untuknya beralih bidang menjadi pelakon filem kerana kebimbangan pihak produksi tempatan terhadap kaitannya dengan aksi-aksi ghairah di laman sesawang dewasa.
Kata Puiyi dia sudah lama ingin melakukan perubahan dalam karier namun hasrat itu selalu tidak kesampaian.
“Tiada siapa tahu saya inginkan perubahan selama ini. Hasrat saya adalah untuk mengembangkan jenama sendiri baik di dalam mahupun luar negara.
“Sebelum ini tak ada produksi berani beri peluang dan panggil untuk datang uji bakat sebab mereka bimbang dengan imej saya,” katanya.
Justeru, pemilik nama asal Siew Puiyi itu berkata, dia sanggup bermula dari bawah meskipun perlu bergelut untuk meyakinkan produksi tempatan untuk mengambilnya berlakon.
Dan menurut Puiyi, peluang itu akhirnya diperolehi melalui peluang dibeirkan penerbit filem Pulau dari WebTVAsia, iaitu Fred Chong.
“Kalau tak kerana Fred Chong, saya tak dapat peluang untuk berlakon macam ini.
“Saya mula nak berubah arus sejak enam bulan lalu tapi ia tak mudah.
“Dan untuk berlakon dalam filem Pulau saya juga menjalani sesi uji bakat macam orang lain,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur semalam.
Untuk rekod, Puiyi yang mempunyai 22.3 juta pengikut di media sosial itu juga terkenal sebagai selebriti dan menceburkan diri sebagai DJ.
Selain di Malaysia, Puiyi juga sedang mengembangkan jenama dirinya dalam pelbagai cabang seni, misalnya di AS, Eropah dan Asia.
Justeru Puiyi berharap dia akan mendapat lebih banyak peluang pada masa depan.
Katanya, sekiranya diberikan peluang dia tidak akan mensia-siakan ruang itu malah akan menjadi seorang yang komited pada masa.
“Saya seorang yang patuh masa. Kalau ada projek, saya pastikan beri komitmen sepenuhnya,” Puiyi.