Artis tempatan yang dijadual membuat persembahan pada Festival Good Vibes 2023 (GVF 2023) yang dibatalkan serta-merta, walaupun sepatutnya berlangsung hingga Ahad belum menerima apa-apa bayaran.
Menegaskan perkara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata pihak MyCreative Ventures sedang mencari jalan penyelesaian bagi membantu semua pihak yang terlibat dan terjejas ekoran pembatalan festival terbabit.
“Kami telah menghubungi vendor dan artis tempatan. Persembahan antarabangsa telah dibayar tetapi artis tempatan tidak diberi bayaran.
"MyCreative Ventures telah menghubungi bagaimana untuk membantu penjual makanan dan artis tempatan dan saya akan menyerahkan kepada mereka untuk memaklumkan (kami) bantuan yang boleh diberikan," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.
MyCreative adalah salah satu cabang pelaburan kerajaan bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi menerusi pelaburan kewangan strategik dan inovatif, sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman.
Diilhamkan daripada pengumuman peruntukan RM200 juta Belanjawan 2012 terhadap industri kreatif, MyCreative Ventures ditubuhkan pada 20 April 2012 di bawah Menteri Kewangan dan diselia Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sejak 2019.
Semalam, Fahmi mengarahkan pembatalan persembahan serta-merta baki dua hari GVF 2023 yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Arahan pembatalan itu dibuat di tengah-tengah kontroversi aksi vokalis kumpulan British The 1975, Matty Healy yang memperlekehkan undang-undang Malaysia berkenaan LGBT.
Ketika di pentas, dia turut dilihat minum dari botol yang dipercayai berisi minuman beralkohol serta didakwa meludah dan merosakkan kamera dron pihak penganjur.
“Saya ingin menegaskan bahawa pendirian kerajaan adalah jelas.
“Tidak akan ada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, mempersendakan, dan melanggar undang-undang negara,” kata Fahmi di Twitter.
Fahmi yang juga ketua penerangan PKR berkata dia menggesa penganjur konsert mengenal pasti mekanisme ganti rugi semua pemegang tiket, vendor, penaja dan rakan kongsi berikutan pembatalan festival itu.
Penganjur GVF 2023 Future Sound Asia kemudiannya memohon maaf kepada pemegang tiket, vendor, penaja dan rakan kongsinya, dan memberi jaminan kepada mereka bahawa ia akan memberikan kemas kini tentang bayaran balik secepat mungkin.
Difahamkan sebanyak 28 vendor makanan mengalami kerugian besar akibat pembatalan terbabit.