Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zamani masih terpaksa layan sakit lepas dibedah

Penyanyi Zamani Ibrahim mengakui pada masa-masa tertentu dia terpaksa menahan sakit akibat pembedahan bagi menyembuhkan masalah skoliosis yang menyebabkan tulang belakangnya melengkung.

Vokalis Slam itu memberitahu, walaupun keadaannya selepas pembedahan itu semakin beransur pulih, dia belum merasai keselesaan seperti yang diharapkan pada tubuh badannya.

“Sekarang keadaan saya sudah 80 peratus baik. Namun, badan saya mungkin masih perlu masa untuk sesuaikan dengan keadaan sebab ia bukan yang original (tulang asal).

“Saya fikir lepas pembedahan boleh rasai apa itu normal, tapi sampai sekarang belum dapat keselesaan seperti yang saya nak.

“Rasa sakit itu bukan disebabkan besi yang digunakan untuk betulkan bahagian tulang belakang yang melengkung tapi ia disebabkan besi sokongan lain yang perlu dimasukkan pada bahagian kiri dan kanan tubuh,” katanya.

Menurut Zamani, kesakitan yang dialami selepas besi sokongan dimasukkan ke tulangnya lebih menyeksa berbanding sebelum menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, kata Zamani, 52, ketika ini kesakitan yang dirasai itu masih boleh ditanggung dan ia bukanlah pada tahap yang membimbangkan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, dia juga ada bertemu pakar sebelum meneruskan konsert yang dijadual berlangsung 10 Jun lalu di Singapura.

“Doktor beritahu tak ada apa-apa. Tapi doktor tak beri jaminan yang tubuh saya akan selesa 100 peratus.

“Saya rasa sakit lagi sekarang, skoliosis itu tak menyebabkan kesakitan, cuma rimas. Sekarang ini sakit disebabkan besi sokongan itu.

“Tapi saya masih OK, ia bukanlah sakit yang sampai tak boleh nak tahan,” katanya.

Zamani berkata demikian ketika ditemui pada sesi wawancara berkenaan Konsert Nurkasih di studio di Ukay Perdana, Ampang semalam.

Konsert itu dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, pada 6 Ogos ini.

Konsert Nurkasih akan turut dijayakan anggota Slam yang lain seperti, Shah (gitaris), Eddie (keyboard), Lili (bes) dan Man (dram).

Zamani menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada November tahun lalu.

Prosedur membetulkan tulang melengkung di sebuah hospital swasta itu mengambil masa hampir tujuh jam dan penyanyi berkenaan perlu ditidurkan sebelum pembedahan dilakukan.

Pun begitu, kata penyanyi Jika Kau Rasa Getarnya itu, dia tidak menyesal melakukan pembedahan tersebut.

“Alhamdulillah, saya lebih bersyukur dengan keadaan sekarang cuma kena biasakan diri dengan rasa sakit itu,” katanya.

Menurut Zamani, pergerakannya juga masih terbatas untuk melakukan rutin harian misalnya untuk mengerjakan solat.

“Saya masih tak boleh mencangkung dan solat seperti biasa. Kena solat duduk di kerusi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS