Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Suara-suara jahat' hasut Janna Nick bunuh orang
Diterbitkan:  Jul 21, 2023 6:35 PM
Dikemaskini: 12:03 PM

Pelakon dan pengacara, Janna Nick mendedahkan dia sudah tidak tahan mendengar “suara-suara jahat” yang meracuni fikirannya untuk melakukan pelbagai perkara termasuk membunuh.

Kata Janna, walaupun tidak mempunyai masalah lain dalam kehidupan, serangan mental itu tetap muncul hingga mengganggu waktu tidurnya.

“Saya nak orang tahu bahawa saya gembira, tak ada masalah. Saya OK, cuma ada masalah dengan diri sendiri; saya ada masalah dengan otak.

“Hari ini adalah hari saya bergaduh dengan otak saya sebab bising sangat. Tak pernah rasa teruk macam ini.

“Otak paksa saya fikir benda-benda kritikal. Sepanjang tidur, otak ajar saya fikir macam mana nak bunuh orang, sorok mayat, lari daripada polis.

“Saya penat dengan semua ini, rasa nak shut down,” luahnya melalui siaran langsung di TikTok.

Untuk rekod, Janna atau nama asalnya Nurul Jannah Muner memang sering terbuka mengenai isu gangguan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sebelum ini.

Dia juga pernah dilaporkan mendapatkan rawatan susulan berhubung masalah tersebut.

Namun Janna, 28, mengakui masalah itu mungkin semakin memburuk disebabkan gangguan pola tidurnya terganggu.

Katanya, waktu tidur terjejas disebabkan dia perlu memenuhi tuntutan kerjayanya sebagai pelakon.

“Beberapa hari ini jalani penggambaran macam biasa, cuma setiap hari balik lewat misalnya jam 7 atau 8 pagi.

“Waktu tidur agak teruk dan mungkin perubahan itu buat otak saya tak boleh terima. Hari ini, balik penggambaran jam 8.30 dan mulai tidur jam 10 malam. Nak tidur enam jam.

“Tapi terbangun jam 2 pagi. Sebab sepanjang tidur, otak saya berperang (fikir bukan-bukan) kerana tak nak tidur,” katanya.

Tambah penyanyi Mentari Setia itu, dia semakin membenci “suara-suara jahat” itu yang sering menganggu fikirannya.

Katanya, walaupun sedaya upaya cuba mengawalnya dengan kerap berzikir, bisikan itu tetap bermain di fikiran.

“Saya cuba duduk diam dan berzikir tapi suara-suara itu lebih kuat daripada saya. Sampaikan saya benci dengan otak saya, itu saja nak cakap,” katanya.

Ujar pelakon Jemputan ke Neraka itu, dia berkongsi masalah dialaminya untuk mencipta kesedaran buat orang ramai berhubung isu gangguan bipolar.

“Saya hanya mahu kongsikan supaya orang faham benda ini sakit sangat. Saya mahu pandangan orang yang alami perkara sama,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS