Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Agong kurnia darjah kebesaran pada Anne Ngasri
Diterbitkan:  Jul 21, 2023 1:45 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada selebriti Anne Ngasri dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara semalam.

Anne yang juga e0xco Wanita Umno menerima kurniaan Darjah Kesatria Mangku Negara.

Bersyukur dengan kurniaan tersebut, Anne tekad berazam untuk terus mencurahkan keringatnya demi negara.

“2 Muharam 1445 Hijrah bersamaan 20 Julai 2023.

“Syukur dengan izin dan limpah kurnia-Nya. Semoga Allah SWT merahmati pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang memayungi seluruh rakyat.

“Patik menjunjung kasih dan kurnia serta terus bekerja keras menabur bakti demi agama, bangsa dan negara yang tercinta,” kongsinya.

Sebelum beralih ke pentas politik, pemilik nama asal Naszriah Ngasri itu pernah dikenali kerana membintangi sitkom popular Cili Padi di TV3.

Tampil menggayakan baju kurung hijau, Anne hadir bersama kakaknya, Darling yang berkongsi beberapa imej mereka berdua sekitar istiadat yang berlangsung di Istana Negara.

Darling yang juga pelakon dan penerbit juga mengucapkan tahniah buat adiknya itu.

“Teruslah menabur bakti demi agama, bangsa dan negara kerana sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat,” katanya.

Sultan Abdullah semalam turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN) kepada bekas Ketua Pengarah Tanah dan Galian Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad Mohd Nazrul Izam Mansor.

Mereka mendahului senarai 292 penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Turut berkenan berangkat pada istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS