Uqasha Senrose menjelaskan adegan daring (berani) dia berkemban serta memeluk rakan pelakon Amerul Affendi yang dijayakan dalam Sumpahan Jerunei dilakukan hanya untuk memenuhi keperluan skrip.
Aktres popular itu juga berkata, adegan tersebut diteruskan memandangkan dia tidak terikat dengan sebarang komitmen dengan mana-mana lelaki.
Tambahnya, semasa penggambaran filem itu dilangsungkan dia belum diijabkabulkan dengan sesiapa, malah hubungannya dengan Kamal Adli ketika itu masih sekadar berkawan.
“Masa itu, saya belum kahwin lagi.
"Alah… dalam drama pun banyak aksi berkemban tapi apabila ia dipaparkan di layar perak, mungkin nampak lebih menonjol dan seksi," katanya.
Bagaimanapun, kata pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu, dia memberikan persetujuan melakonkan adegan tersebut kerana yakin pihak produksi masih meletakkan batasan tertentu sebelum ia ditayangkan kepada khalayak umum.
“Saya setuju pun sebab masih ada batas,” katanya ringkas ketika ditemui pada malam pratonton Sumpahan Jerunei di sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur kelmarin.
Melalui filem bergenre seram tersebut, Uqasha membawakan watak Bee, seorang pegawai pemuliharaan warisan yang meminati mistik.
Selain Uqasha filem arahan Jason Chong itu itu turut dibarisi pelakon Bront Palarae, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, Yuyun Hikmah dan Ruminah Sidek.
Sumpahan Jerunei yang diinspirasikan dari kisah benar itu memaparkan sejarah berkaitan adat pengebumian golongan bangsawan Melanau di Sarawak.
Ia dijadual menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Julai ini.
Selain itu, babak yang menuntut kredibiliti lakonan Uqasha pula adalah untuk dia beraksi dalam sungai yang juga menjadi air kumbahan penduduk di kawasan Mukah, Sarawak.
Pada peringkat awal, katanya, dia menyuarakan pandangan agar produksi menggunakan pelakon pendua (body double) namun ia tidak diendahkan.
“Produksi tak layan. Akhirnya saya terjun juga sendiri selepas ada orang cabar saya. Saya pula jenis yang pantang dicabar.
“Saya juga sedar ini sebahagian daripada tanggungjawab. Saya tak boleh kata tak nak, jadi kenalah buat juga.
“Cuma bau air sungai itu tak tahan, busuk sungguh. Saya tertelan banyak air, memang sangat menggelikan dan menakutkan.
"Apabila terjun dalam air, saya juga berdepan dengan ular dan biawak pula,” katanya.