Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bagaimana Cakra Khan pukau empat juri AGT?
Diterbitkan:  Jul 20, 2023 1:50 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Kunci kejayaan untuk mana-mana peserta America’s Got Talent (AGT) ialah mereka harus bijak memilih lagu yang boleh menyerlahkan keunikan vokal sendiri.

Justeru begitulah cabaran dan laluan yang didepani penyanyi Indonesia Cakra Khan, di depan para juri AGT, termasuk yang paling 'digeruni' ramai, Simon Cowell.

Namun dengan persembahan dibuat Cakra Khan, dia mendapat pujian daripada Cowell atas kemantapan vokalnya.

Pun begitu juri terbabit mengakui tidak menggemari pilihan lagu yang dipersembahkannya sewaktu sesi uji bakat peringkat awal dijalankan.

“Suara yang bagus, tapi saya tak suka track lagu itu. Adakah kamu mempunyai lagu lain?” soal Cowell.

Cakra Khan bernasib baik kerana dia sudah bersiap dengan pelan B lebih awal. Justeru dia memilih sebuah lagu yang memang sering dimainkan oleh bapanya sebelum dia pergi ke sekolah suatu ketika dulu.

Pemilik nama penuh Cakra Konta Paryaman itu kemudian memulakan nyanyian keduanya. Dan belajar daripada kesilapan pertama, dia memberikan persembahan meyakinkan sehingga memukau kesemua empat juri yang kemudian memberikan empat "yes".

Mereka juga berdiri dan memberikan tepukan gemuruh buat penyanyi Salah Tapi Baik itu.

Berikut beberapa fakta menarik berkaitan cubaan Cakra Khan di AGT:

Lagu apa dinyanyikan Cakra Khan sewaktu uji bakat AGT?
Pada awalnya dia menyanyikan lagu Make It Rain, sebuah lagu yang menggabungkan elemen blues dan rock nyanyian asal penyanyi Ireland Utara, Foy Vance.

Lagu itu kemudian dipopularkan oleh Ed Sheeran melalui lagu saduran.

Kurang seminit selepas Cakra Khan memulakan nyanyian, Cowell mengangkat tangannya sebagai isyarat untuk penyanyi itu menghentikan nyanyian.

Selepas sesi uji bakat itu dihentikan seketika, Cakra Khan, 31, menukar genre lagu lain untuk dinyanyikan dengan memilih No Woman No Cry nyanyian Bob Marley.

“Saya membesar dengan lagu-lagu Bob Marley," katanya sejurus sebelum memulakan nyanyian kedua.

Apakah reaksi juri?
Heidi Klum: Kamu memiliki suara yang amat unik, seksi dan serak. Kamu benar-benar mempunyai suara yang menonjol berbanding yang lain. Ia sungguh istimewa.

Simon Cowell: Sangat jarang untuk kita mendengar suara yang sebegini. Lagu kedua dan apabila semakin mengenali kamu, ia menjadikan kamu semakin menarik. Kemudian ia membuatkan saya terfikir kamu seorang artis. Saya amat menyukai suara kamu.

Sofia Vergara: Saya rasa sungguh istimewa kerana dapat mendengar kamu menyanyi. Kamu menjadikan lagu itu seperti milik kamu. Vokal kamu menakjubkan.

Howie Mandel: Suara yang sangat diingati dan unik. Semua orang berdiri dan kami dapat merasakan emosinya. Anda amat mengagumkan.

Jika Cakra Khan memenangi AGT, bagaimana?
Penyanyi itu menyuarakan impiannya untuk membina rumah perlindungan haiwan di Indonesia sekiranya dia berjaya merangkul gelaran juara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS