Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penantian 2 tahun Ismahalil nak dakap ibu tercapai

Penantian selama dua tahun Ismahalil Hamzah untuk mendakap ibunya berakhir hari ini selepas bekas penyampai radio itu bertemu wanita terbabit, Salbiah Mat Noor, di kampung mereka di Sepang, Selangor.

Pertemuan menyentuh hati dua beranak itu dikongsikan isteri Ismahalil, Nor Haslinda Abd Manaf di Facebook miliknya.

Melalui perkongsian itu, Ismahalil dan Salbiah dilihat saling berpelukan erat bagi melepas kerinduan masing-masing.

Suasana itu bertambah sedih dan hiba apabila klip video yang disunting itu diiringi lagu Air Mata Ibu nyanyian Siti Nurhaliza.

Nor Haslinda pula bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang selama ini membantu suaminya hingga berjaya dilepas dan dibebaskan daripada hukuman pada 17 Julai lalu.

“Terima kasih Allah atas peluang ini. Terima kasih kepada peguam dan team (pasukan) yang lain kerana pulangkan anak ini bertemu ibunya.

“Terima kasih keluarga, kawan-kawan yang sentiasa membantu dan memberi kata-kata semangat,” katanya.

Nor Haslinda turut berterima kasih kepada diri sendiri kerana dia berjaya melalui liku-liku sebagai isteri seorang tahanan selama hampir dua tahun sebelum ini.

Ismahalil bersama ibunya

Bersempena Maal Hijrah, katanya, pembebasan Ismahalil itu juga diibaratkan satu lembaran buat dia sekeluarga.

“Terima kasih untuk diri sendiri juga kerana dapat harungi dugaan ini. Selamat menyambut Maal Hijrah,” katanya.

Nor Haslinda turut mengiringi video berkenaan dengan kapsyen berserta tanda pagar #tahunbarubukubaru.

Terdahulu, Ismahalil, 50, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram dua tahun lalu.

Di kandang tertuduh, pengasas Bapakku FM itu menangis dan bersujud syukur sebaik keputusan tersebut dibacakan.

Pada 21 Feb lalu Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, pada jam 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

Sebaik dia dibebaskan, Ismahalil berkata, perkara pertama ingin dilakukannya adalah bertemu ibu yang kurang sihat.

“Saya nak balik kampung untuk jumpa emak. Saya ingin menjaganya (emak) kerana sudah berjanji pada arwah ayah. Lagipun sudah dua tahun saya tak jumpa emak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS