Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Peminat menangis bimbang, Judika pun serik nak ulang

Penyanyi popular Indonesia, Judika, berkata dia enggan lagi terbabit dalam sebarang gimik yang menakut-nakutkan peminat pada masa depan walaupun ia dirancang demi melariskan jualan tiket konsertnya.

Justeru kata Judika dia sudah mengingatkan pihak penganjur dan syarikat pengurusan supaya tidak mengulangi tindakan sebegitu yang biasanya digunakan segelintir artis lain untuk menarik perhatian peminat.

“Saya sudah maklumkan pada team supaya jangan buat lagi perkara seperti ini.

"Kalau saya betul-betul mahu meninggalkan industri (karier nyanyian) saya sendiri akan beritahu,” katanya.

Pada masa sama, Judika atau nama penuhnya Judika Nalom Abadi Sihotang juga menegaskan dia tidak ada niat untuk menimbulkan kebimbangan kepada peminat berkaitan dirinya.

Kata penyanyi Aku Yang Tersakiti itu, tindakan memadam semua gambar dirinya sebelum ini dibuat kerana mengikut cadangan pihak tertentu bagi mempromosikan konsert pertamanya di Asia, Rockmantic Night Judika & The Gang.

“Penganjur dan syarikat pengurusan saya terfikir untuk melakukan sesuatu bagi memberitahu peminat bahawa akan ada yang istimewa.

“Konsert itu bukan hanya akan diadakan di Kuala Lumpur, tapi juga di beberapa negara lain di Asia. Tapi, ramai yang menyangkakan saya mahu ucapkan selamat tinggal pada industri,” ujarnya.

Penyanyi itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Rockmantic Night Judika & The Gang di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Cuma imej hitam putih

Judika bersama Shila Amzah, Marsha Milan Londoh dan Haqeem Rusli akan bergabung di satu pentas menerusi konsert berkenaan yang dijadual berlangsung pada 21 Oktober depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Konsert itu dibawakan oleh Kharisma Music bersama Alha Alfa dan DAD Management.

Terdahulu, tindakan Judika, 44, memadam foto di laman sosial Instagram miliknya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat.

Pada laman sosialnya itu, Judika hanya meninggalkan sekeping imej berwarna hitam putih dan tertera pula tulisan: “Terima kasih telah mendukung saya selama ini.”

Kapsyen berkenaan sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa Judika kononnya mahu berundur dari industri seni.

Menjengah ke ruangan komen di Instagram Judika itu, ramai peminat meluahkan rasa teruja serta tidak sabar untuk menyaksikan konsertnya namun segelintir yang lain pula beranggapan tindakan sedemikian tidak perlu dilakukan oleh penyanyi yang sudah memiliki nama.

Mengulas lanjut, Judika berkata, disebabkan gimik berkenaan, dia menerima banyak mesej dan panggilan telefon yang mahukan penjelasan lanjut.

Akibatnya, kata penyanyi itu, dia terpaksa mematikan telefon bimbit kerana respons yang diterima adalah di luar jangka.

“Ketika kekecohan berlaku, saya sedang sibuk uruskan sesuatu. Kemudian, saya lihat banyak direct message (DM) yang bertanya alasan saya berbuat demikian.

“Ada peminat menangis kerana bimbang, ada juga yang membuat video dan mengaitkan masalah vokal sebelum ini dengan kehilangan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS