Pembebasan yang diberikan mahkamah kepada Ismahalil Hamzah pada pagi tadi bukan saja melepaskan bekas deejay itu dari hukuman gantung malah ia menjadi lebih bermakna.
Ismahalil akhirnya dapat menjadi wali kepada anak sulungnya yang akan bernikah tidak lama lagi.
Katanya, Saidatul Nadiah bakal melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya pada Oktober depan.
“Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya. Saya bebas kerana kebenaran dan kasih sayang Allah pada saya. Ini semua kuasa Allah.
“Saya gembira dapat jumpa anak dan isteri saya lepas dua tahun di penjara.
“Kebetulan, anak saya nak menikah nanti pada bulan 10 jadi Alhamdulillah saya dapat jadi wali pada majlis pernikahan dia nanti,” katanya.
Sambil bergenang air mata, Isma turut meluahkan kelegaan kerana selama hampir dua tahun penantian, dia akhirnya berpeluang melepaskan kerinduan pada ibu, Salbiah Md Noor, 88, yang kini sedang sakit.
“Perkara pertama nak buat apabila balik rumah adalah berjumpa mak saya yang sakit.
“Itu adalah keutamaan saya,” katanya.
Hari ini Malaysiakini melaporkan pengasas Bapakku FM itu sujud syukur selepas dilepas dan dibebas daripada tuduhan mati mengedar dadah dua tahun lalu.
Ismahalil sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Selain itu Isma, 50, memberitahu dia bakal berkongsi cerita pengalamannya sepanjang dua tahun di Sungai Buloh.
“Dua tahun banyak memberi pengajaran kepada saya, tak mungkin saya dapat bercakap dalam seminit dua ketika ini.
“Bagi saya sedikit masa lagi dan saya akan kongsikan kepada semua apa yang saya lalui dalam penjara,” katanya.
Sementara itu Saidatul Nadiah, 27, berkata pembebasan bapanya adalah hadiah yang paling bermakna buatnya yang bakal menamatkan zaman bujang.
“Ini hadiah bermakna buat saya sebab saya bakal berkahwin tak lama lagi,” jelasnya.