Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hari pertama konsert Rossa digegarkan lagu-lagu sarat mesej

Hari pertama Konsert Rossa Another Journey: The Beginning berjaya memukau kira-kira 2,400 peminat dengan pengisian seleksi lagu-lagu yang mempunyai lirik sarat mesej positif.

Penyanyi genit itu sendiri mengakui, memang lagu-lagunya banyak berkisahkan cerita-cerita yang sedih tetapi ia bukan untuk didendangkan begitu saja.

Jomblo (bujang) bukan takdir atau nasib tapi pilihan.

“Banyak lagu saya berkisahkan cerita yang sedih tapi di sebalik lirik sedih itu, saya selalu selitkan mesej yang mempunyai makna positif,” ujarnya di minit awal persembahan.

Perasaan peminat terus dilihat terbuai-buai apabila suara mereka mengiringi nyanyian Rossa, 44, dengan lagu-lagunya yang menggambarkan perasaan suka, rindu, duka dan harapan.

Semuanya ‘diceritakan’ dengan gaya yang cukup menarik ditemani warna-warni skrin LED di pentas melalui 19 lagu yang dipersembahkan di Zepp Kuala Lumpur semalam.

Konsert berdurasi dua jam itu menyaksikan penyanyi berkenaan membuat peminat juga tidak kering gusi dengan keletahnya yang lucu.

Antara lagu-lagu hit dibawa Rossa pada malam itu ialah Tegar, Pudar, Hey Ladies, Aku Bukan Untukmu dan Malam Pertama.

Pada konsert itu juga, Rossa mengundang penyanyi Rizky Febian ke pentas untuk menghiburkan dengan lagunya, Bertengkar Manis, bersama-sama.

Tiket habis licin

Rizky kemudian menghiburkan peminat dengan dua lagi lagu milik penyanyi berkenaan iaitu, Cuek dan Kesempurnaan Cinta.

Pentas sebelum itu dibuka oleh Betrand Peto Putra Onsu yang mempersembahkan dua lagu, Takkan Berpaling Darimu dan Ku Menunggu - kedua-dua lagu ini adalah nyanyian asal Rossa.

Sekitar jam 9 malam, Rossa menarik perhatian ramai apabila dia mendendangkan lagu berbahasa Korea, Sangcheo, yang sebenarnya dari lagu asal Hati Yang Kau Sakiti.

Terdahulu pihak penganjur siri konsert Dream Festival Collaboration Vol 3 menambah sehari lagi untuk Rossa Another Journey: The Beginning kerana bimbang peminat-peminatnya kecewa apabila tiket habis licin dalam tempoh 24 jam sebaik kaunter jualan dibuka.

Pada Nov tahun lalu Rossa meraikan 25 tahun keberadaannya dalam industri muzik dengan persembahan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketika itu dia menyatakan azamnya untuk muncul kembali tahun ini kerana berasakan konsert berkenaan belum memadai untuk mengubat rindu peminat.

Kehadirannya di Kuala Lumpur kali ini juga cukup istimewa buat peminat kerana dia memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang menggunakan judul sama yang dilancarkan pada Feb lalu.

Antara lagu-lagu dari album baru berkenaan adalah Sekali Ini Saja, Wanita, Masih dan Terlalu Berharap.

Rossa bersama Rizky Febian

Konsert Rossa Another Journey: The Beginning ditutup dengan lagu Hey Ladies yang dinyanyikan bersama Rizky dan Betrand sebelum penyanyi-penyanyi berkenaan merakam foto akhir bersama peminat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS