Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dalam uzur di hospital Mat London sempat tanya kunci kereta

Anak Allahyarham Mat London, Salmany Akir Ahmad, berkata disebabkan terlalu kuat bekerja, arwah bapanya sempat meminta kunci kereta walaupun sedang dirawat di hospital.

Katanya, ia berlaku sehari selepas bapanya dimasukkan ke hospital pada 12 Julai lalu.

Menurut Salmany, sebelum itu alat bantuan pernafasan sudah dimasukkan dan bapanya itu tidak boleh bercakap.

“Namun, keesokannya apabila saya pergi ke hospital nampak keadaan ayah OK. Dia ada suruh saya urut.

“Saya bergurau. kalau nak urut lama-lama, kenalah balik rumah.

“Sebelum ayah ditidurkan, dia ada minta kunci kereta kerana mahu pergi bekerja,” katanya.

Salmany adalah anak keempat daripada enam beradik melalui perkahwinan pertama Mat London dengan Saodah Abdul Wahab.

Melalui perkahwinan kedua dengan pelakon Fadilah Mansor mereka dikurniakan dua lagi anak iaitu Alia dan Faeesal Asuwat.

Mat London, 74, meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi termasuk jangkitan kuman di paru-paru di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Salmany, 42, juga berterima kasih kepada kawan-kawan bapanya yang membantu dalam menguruskan jenazah.

Katanya, pada peringkat awal mereka merancang untuk mengebumikan jenazah arwah bapa berdekatan tempat tinggalnya di Taman Selasih, Gombak.

Jenazah diuruskan di masjid

Dia bagaimanapun tidak jadi berbuat demikian disebabkan kehendak rakan-rakan bapanya yang mahu jenazah disemadikan di Taman Melawati.

“Ayah tinggal di Taman Melati dan kawan-kawannya cakap, arwah memang nak dikebumikan di perkuburan berdekatan sini. Jadi kita akurlah dengan permintaan mereka.

“Semuanya kawan-kawan yang uruskan termasuk van jenazah. Sebenarnya dalam jangka masa sebulan dia sakit, saya dah rancang siapa nak buat itu dan ini. Kami dah sedia.

“Abang dari Kedah pun dah balik sini. Tapi, kawan-kawannya maklumkan urusan masjid mereka akan uruskan, sebab itu kita dapat lihat semua dah disediakan,” kata Salmany.

Jenazah dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang.

Terdahulu, jenazah dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Mardhiyah, Ampang dan mendapat penghormatan ramai rakan penggiat seni.

Antara mereka ialah penerbit dan pengarah, Yusof Haslam, Pemangku Presiden Persatuan Pengarah Malaysia (FDAM) Aziz M Osman, pengarah Rashid Sibir, dan pelakon Den Wahab.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS