Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mat London hembuskan nafas terakhir sesudah azan Subuh
Diterbitkan:  Jul 14, 2023 10:11 AM
Dikemaskini: 2:11 AM

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, meninggal dunia jam 5.57 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah melalui kiriman WhatsApp.

Allahyarham menutup usianya pada 74 tahun.

Anak Mat London, Salmany Akir Ahmad turut mengesahkan pemergian bapanya melalui hantaran Facebook.

“Sesudah laungan azan subuh... Papa menghembuskan nafas terakhir di hening pagi yang masih sepi di pagi Jumaat,” katanya.

Terdahulu, Mat London atau nama sebenarnya Mohd Ibrahim yang menghadapi masalah jantung dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas terbatuk-batuk dan berada dalam keadaan lemah.

Mat London dimasukkan ke HKL pada 13 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru.

Pelakon Kampung Pisang Berbuah Dua Kali dan 18 Puasa Di Kampong Pisang itu dirawat sejak 26 Jun lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan terpaksa ditidurkan kerana keadaan paru-paru dan jantungnya yang lemah.

Jenazah Allahyarham Mat London dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Melawati selepas solat Jumaat.

Allahyarham Mat London meninggalkan lapan cahaya mata melalui perkahwinan pertama manakala dua lagi bersama bekas isteri yang juga pelakon, Fadilah Mansor.

Selepas bercerai Fadilah pada 2012, pengarah filem Kelisa itu tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama pembantunya di Taman Melawati.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS