Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Permusuhan politik: Tak suka tak apa tapi jangan sampai menghina

Menjelang ketibaan pilihan raya negeri (PRN) bulan depan, pelakon Fikry Ibrahim berpesan agar rakyat negara ini melakukan cerminan pada diri sendiri sebelum menghina mana-mana pihak kerana tidak sependapat dengan mereka.

Walaupun tidak menamakan sesiapa secara khusus, Fikry berkata kenyataan itu dibuat secara umum dan turut membabitkan para agamawan, tokoh politik serta pemimpin masyarakat.

Mengakui dia tidak senang dengan pemikiran sesetengah pihak, Fikry berkata, sebagai rakyat Malaysia orang ramai perlu berfikiran terbuka dan tidak keterlaluan dalam tindakan.

“Saya ada masalah dengan segelintir cara pemikiran orang lain. Sekarang buka saja media sosial kita akan terbaca mengenai fikiran seseorang yang terdorong pada perkara tak baik.

“Sebagai rakyat Malaysia kita harus berfikiran terbuka. Kena refleksi diri, insya-Allah negara ini akan jadi lebih baik," katanya.

Menurut Fikry dia juga berminat kepada hal-hal politik dalam negara ini namun ia tidak menyebabkan sehingga melewati sempadan termasuk mengutuk sesiapa.

Dia juga memberikan 'panduan' untuk seseorang yang tidak senang dengan pihak tertentu jika sedang melayari media sosial.

“Sepatutnya, kalau buka media sosial, mana-mana orang yang kita tak suka itu, skip (langkau) saja.

"Tapi saya tak tahu keberanian apa yang ada pada seseorang itu sampai berani nak menghina orang lain apabila tak mereka bersetuju pendapat.

“Ustaz ke, tokoh negara ke, janganlah sampai menghina sebab perbuatan itu menjadi contoh pada masyarakat.

"Pemimpin adalah cerminan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dah tiga kali mengundi

Menurut pemilik nama penuh Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim itu, situasi berkenaan juga berbalik kepada sikap “baik” yang seharusnya ditonjolkan masyarakat.

"Tapi (kalau) hang (kamu) yang kat bawah pun selalu meminta; takkan tak ada manis-manis (rasuah).

“Jadi, jangan haraplah yang kat atas hang tu pun baik-baik,” kata pelakon yang sering membuat jenaka parodi berkaitan politik itu.

Fikry, 29, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman filem sulung lakonannya, Rahsia, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Rahsia bakal tampil semula dengan versi reboot dijadualkan tayangan di pawagam seluruh negara bermula 10 Ogos ini.

Legasi filem seram ikonik arahan Othman Hafsham yang berjaya melakar fenomena suatu masa dulu itu kini diteruskan oleh anaknya, Shamyl Othman yang diberi kepercayaan untuk mengarahkan versi reboot berkenaan.

Selain Fikry, Rahsia turut dijayakan Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman dan Susan Lankester.

Dalam perkembangan berkaitan, Fikry berkata, dia akan pulang ke kampung halamannya di Kedah untuk mengundi dalam PRN yang dijadual berlangsung pada 12 Ogos ini.

Dia turut menggalakkan semua rakyat yang berdaftar untuk turun mengundi dan memanfaatkan ruang berkenaan demi masa depan negara.

“Ini kali ketiga saya akan mengundi. Hang nak undi apa pun tak kisah, tapi hang balik undi, jalankan tanggungjawab pada negara.

"Jadi, jangan nak banyak merungut kalau tak balik mengundi. Itu saluran demokrasi untuk kita tentukan masa depan.

"Saya anggap apa pun politikus buat, pasti ada sinar yang baik.

“Mungkin segelintir mereka masih ada yang berhati murni dan berniat untuk berkhidmat untuk rakyat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS