Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Daiyan Trisha 'tempah' jangkitan dalam telinga dek Sumpahan Jerunei

Penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha berdepan pengalaman tidak boleh dilupakan selepas dia bersetuju melakonkan semua aksi stunt sendiri demi menjayakan filem Sumpahan Jerunei yang diarahkan Jason Chong.

Paling memeritkan, menurutnya, ialah apabila dia terkena jangkitan telinga selepas menyelam dalam selut ciptaan yang dipenuhkan dengan air, daun-daun kering, tanah serta sabut kelapa bagi memenuhi jalan cerita dalam skrip berkenaan.

Kata Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, aksi stunt dilakukan di sebuah kawasan hutan di Sarawak dan ia merupakan pengalaman pertama seumpamanya dilakonkan.

“Ini pengalaman paling mencabar minda dan fizikal saya. Sewaktu menyelam, habuk masuk sampai gegendang telinga. Ia mengakibatkan jangkitan dan saya kena serangan panik hingga tak boleh bernafas.

“Kemudian saya dibawa ke klinik. Aksi itu pula tak boleh dilakonkan dua kali kerana kalau perlu, penggambaran kena dimulakan dari rambut kering ke basah semula.

“Jadi, apabila Jason minta ia dibuat untuk kali kedua, saya terus berasa sesak nafas lagi,” kata Daiyan ketika ditemui di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan setakat itu, Daiyan, 29, memberitahu skrip berkenaan turut menuntutnya untuk jatuh bergolek dari kawasan bukit, selain berkaki ayam semasa di dalam hutan.

Semasa itu, katanya, dia berdepan kesukaran apabila selumbar mencucuk masuk ke kulitnya.

Selain Daiyan, filem terbitan Produks 2020 itu turut dibintangi Bront Palarae, Uqasha Senrose, Syafie Naswip, Amerul Affendi, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Yuyun Hikmah.

Sumpahan Jerunei yang dijadual mula ditayangan pada 27 Julai ini dihasilkan berdasarkan kisah benar yang memaparkan sejarah berkaitan adat pengebumian bangsawan Melanau di Sarawak.

Bagaimanapun, penyanyi Jatuh dan Brutal itu menjelaskan, luahan hatinya bukan untuk memburukkan mana-mana pihak sebaliknya ingin berkongsi pengalaman paling ‘berharga’ sepanjang kariernya sebagai pelakon.

“Ini pengalaman yang nak diceritakan. Saya sendiri yang bersetuju buat semua stunt sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS