Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kini hanya menteri boleh selamatkan status FDAM, kata Mahadi

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) secara automatik sah terbubar pada 7 Jun lalu sebaik saja Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menolak rayuan badan terbabit, kata mantan timbalan presidennya, Mahadi J Murat.

Status FDAM, menurutnya, hanya boleh dikembalikan ke kedudukan asal jika ia mendapat kebenaran daripada menteri dalam negeri.

“Statusnya saat ini telah terbubar kerana rayuan atau jawapan diberi selepas diberi surat tunjuk sebab itu ditolak oleh ROS.

“Tapi kemudian FDAM buat lagi rayuan kepada pihak lebih atas. Itu ikhtiar mereka. Tapi status bubar itu masih tidak berubah.

“Jika menteri selepas mendapat laporan ROS setuju membatalkan pembubaran, baru batal pembubaran itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Justeru, Mahadi mengakui dia “tergores hati” sebaik saja mendapat tahu ‘riwayat’ FDAM - yang ditubuhkannya bersama beberapa rakan lain pada 1990 - telah ditamatkan pada Jun lalu.

“Saya berasa amat pilu dan tergores apabila dapat tahun FDAM telah dibatalkan ROS,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan laporan memetik Timbalan Presiden FDAM, Zulkifli M Osman yang mendakwa badan itu masih dalam proses rayuan untuk mengekalkan status sebagai sebuah entiti.

ROS sebelum itu memerintahkan surat tunjuk sebab kepada FDAM pada 7 November lalu.

Bagaimanapun, Mahadi, 62, enggan menuding jari kepada sesiapa atas nasib yang menimpa FDAM apabila berlaku kesilapan sebegini.

“Kenapa? Apa sebabnya? Saya tak tahu. Saya juga tak mahu terjah dan menyalahkan orang itu, ini. Saya percaya… semua orang ada pandainya,” ujar Mahadi.

Kekecewaan yang tidak dapat dibendung itu juga katanya disebabkan pelbagai usaha diperjuangkan demi membangunkan FDAM sebagai badan profesional, peneraju industri serta menjadikan ia berupaya memainkan peranan dalam meningkatkan apresiasi karya filem tempatan.

“Saya ingat lagi antara slogan kami pada masa itu ialah; ke arah sejuta penonton filem Malaysia.

“Antara isu-isu besar yang menjejaskan perkembangan industri filem tempatan seperti kehadiran ramai pengarah dan pekerja filem Hong Kong dalam penerbitan drama televisyen (TV) tempatan serta mungkin ribuan skrip drama persilatan ala kungfu perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh karyawan Hong Kong. Ini mengakibatkan pemain industri tempatan kehilangan peluang kerja.

“Selain itu, banyak penghasilan filem iklan bernilai ratusan juta ringgit yang diterbitkan di Malaysia terbang kepada pengarah dan pekerja luar.

“Melalui perbincangan dengan Jabatan Imigresen dan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) situasi itu dapat dikekang walaupun tidak sepenuhnya kemudian,” katanya.

Tambah Mahadi, perkara lain yang berjaya disanggah oleh FDAM ialah berhubung keputusan kerajaan menswastakan Finas kepada HVD Film Production dan Konsortium Kris-Motion.

“Selepas berpayah-payah dan bersilat dengan cermat akhirnya pasukan FDAM yang terdiri daripada Shuhaimi Baba, Hafsham dan saya berjaya menyelamatkan Finas,” ujarnya.

FDAM juga kata Mahadi, komited dalam melaksanakan syarat Izin Produksi seperti yang dilakukan di Indonesia, Australia dan lain-lain negara.

“Melalui Hasil cadangan dan perbincangan dengan kerajaan pelaksanaan syarat Sijil Perakuan Pengeluaran (SPP) bagai setiap filem keluaran Malaysia dikuatkuasakan.

“Bersama pelaksanaan syarat SPP itu ialah syarat Padu-Citra yang mensyaratkan semua yang terlibat dengan penggambaran di Malaysia mestilah terdiri daripada ahli kepada persatuan perfileman sedia ada.

“Syarat ini penting kerana melaluinya kita dapat mengumpul data tentang semua aktiviti perfileman, serta dapat merangsang upaya professional pengamal industri.

“Dari sana juga perancangan masa hadapan boleh dibuat. Tapi malang, khabarnya kini syarat Padu-Citra ini tak dikuatkuasakan lagi. Saya tak tahu sebabnya,” kata Mahadi.

Ujarnya, dulu FDAM aktif dengan karyawan di Indonesia, misalnya Filipina, Thailand dan Indonesia serta terbabit program ASEAN-COCI sebagai platform meningkatkan kerjasama dan apresiasi filem serantau.

Namun, hingga kini, Mahadi tidak pasti sama ada usaha-usaha pernah digerakkan di bawah pentadbirannya itu masih diteruskan atau pun tidak.

“Jadi, adalah amat mengecewakan, ketika apresiasi dan teknologi sinema baru sedang berkembang merentasi ruang maya tanpa sempadan, kita tiba-tiba kehilangan induk dan kehilangan suara.

“FDAM, dari tangan kita ia hadir, di tangan kita juga ia hilang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS