Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sokongan rakan kuatkan semangat Eddie beraksi untuk Wings

Pemain bass Wings, Eddie komited melaksanakan tugas pada Konsert Nusafest 2023 yang berlangsung di Bandar Malaysia malam tadi meskipun baru diduga dengan kematian isteri, pada 7 Julai lalu.

Katanya, dia memperoleh semangat daripada rakan-rakan untuk berbuat demikian.

Tambahan pula, dia enggan mencampur adukkan hal peribadi dengan kerja.

“Apa dilakukan semalam adalah tanggungjawab saya sebagai seorang pemuzik.

“Saya main dengan Wings dah lama. Apa-apa masalah timbul di luar saya tak boleh campur dengan kerja. Saya kena bagi komitmen.

“Terutama, apabila saya lihat kawan-kawan saya menyokong saya; daripada urusan isteri saya di hospital sampai dia dikebumikan. Kawan-kawan selalu ada dengan saya. Itu yang buat saya lagi kuat.

“Saya reda dengan ketentuan Allah dan bersedia dengan apa yang berlaku. Jadi, saya cuba teruskan juga konsert ini,” katanya.

Tambah sebak, Eddie atau nama penuhnya Samsaidi Ulong Idris, berkata, apabila vokalis wing, Awie membuat pengumuman mengenai pemergian Norlela ketika mereka membuat persembahan.

“Alhamdulillah saya boleh fokus tapi Awie buat pengumuman masa lagu Harapan saya dah tak boleh tahan,” katanya.

Anak turut ikut beraksi

Ujar Eddie, 55, keputusan untuk meneruskan persembahan itu juga diikuti oleh anaknya Bila yang juga penyanyi latar Wings.

“Katanya: dia ikut kalau saya beraksi. Tapi kalau saya tak boleh dia akan tarik diri. Dia kini tulang belakang saya sekarang.

“Arwah isteri juga tahu saya akan terbabit dengan Konsert Nusafest 2023 dan beri sokongan penuh,” katanya.

Norlela Mohd Yusof, 61, meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira jam 2.30 petang Jumaat lalu dipercayai akibat komplikasi buah pinggang.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata.

Untuk rekod, Nusa Fest yang dibawakan Shiraz Projects menggabungkan pemuzik tiga negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam satu lokasi selama dua hari bermula semalam.

Sebanyak 24 artis mengisi persembahan selama dua hari itu termasuk tiga band terkenal iaitu Search, Wings dan Butterfingers.

Eddie seorang yang kuat, kata Awie

Sementara itu, Awie memuji komitmen ditunjukkan Eddie walaupun sudah bersedia untuk mencari pengganti sekiranya pemain bassnya itu tidak boleh beraksi.

Namun, katanya, Eddie menunjukkan satu semangat perjuangan dan berpasukan yang baik.

“Saya rasa Eddie gagah, kuat dan dapat selesaikan tanggungjawab dia sebagai seorang penghibur dan pemuzik. Perjanjian dah termaktub dan termeterai, maka kita tak boleh elak.

“Tapi kita tak memaksa Eddie kerana bimbang emosinya terganggu. Kita juga tak nak apa-apa tak elok berlaku di pentas.

“Syukur Alhamdulillah, dengan kekuatan yang ada, semangat setia kawan serta semangat padu dalam Wings itu yang kita nak,” katanya.

Menurut Awie atau nama asalnya Ahmad Azhar Othman itu, bukan saja Eddie, tetapi anggota Wings yang lain turut terkesan dengan berita kehilangan Norlela.

“Kita bukan kawan tapi dah tahap keluarga. Ibarat kami cubit peha kiri, peha kanan juga terasa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS