Nasib Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) kini menjadi tanda tanya apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dikatakan sudah membatalkan pendaftaran pertubuhan tersebut baru-baru ini.
Menurut surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kepada FDAM yang dilihat Malaysiakini, pembatalan tersebut dibuat Seksyen 13 (1) (c) (iv) Akta Pertubuhan 1966.
Perintah pembatalan berkenaan berkuat kuasa mulai 7 Jun lalu.
“Pendaftar Pertubuhan telah menimbangkan perkara ini dan juga rayuan yang dibuat oleh pegawai-pegawai pertubuhan tersebut.
“Pendaftar Pertubuhan berpendapat bahawa rayuan tersebut dan tindakan yang diambil oleh pertubuhan tidak menunjukkan sebab-sebab yang cukup di sebaliknya.
“Oleh itu, diperintahkan pendaftaran pertubuhan yang namanya di atas (FDAM) dibatalkan bermula dari tarikh perintah ini,” kata surat itu.
Bagaimanapun salah seorang watak utama dalam FDAM mendakwa persatuan itu masih wujud di sebalik tersebarnya surat daripada RoS berkenaan.
Cuma ‘masalah kecil’
Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Presiden FDAM Zulkifli M Osman menjelaskan, pertubuhan berkenaan masih dalam proses rayuan untuk mengekalkan status sebagai sebuah entiti.
“FDAM masih wujud.
“(Isu sekarang) Bukan pembubaran FDAM; (ia) dalam proses pembubaran dan kemudian kami buat rayuan.
"Kami diberikan tempoh tertentu untuk serahkan perihal dokumentasi yang berkaitan," katanya.
Tambah Zulkifli sebelum ini RoS memberi tempoh sebulan - mulai Nov 2022 - untuk mengemukakan alasan mengapa FDAM tidak wajar dibatalkan pendaftarannya.
Bagaimanapun menurutnya alasan yang diberikan FDAM itu tidak kukuh justeru ia ditolak.
“Jadi, FDAM sekarang dalam proses rayuan itu.
"Untuk berapa lama tempoh rayuan, itu terpulang pada RoS dan Kementerian Dalam Negeri,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Zulkifli lagi FDAM cuma dikaitkan dengan masalah "kecil" saja dan tidak sewajarnya surat pembatalan daripada RoS itu beredar dalam kalangan pihak luar.
“Itu adalah surat rasmi RoS. Ia membabitkan kes pelanggaran akta kecil disebabkan FDAM mengikuti perlembagaan baru yang belum disahkan RoS tapi telah diluluskan oleh ahli.
“RoS (pula) masih ikut perlembagaan lama, jadi ini benda kecil dalam akta perlembagaan,” dakwanya.