Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerusi panas Finas bukan untuk orang 'cepat koyak' - Seniman

Kerusi panas yang tersedia di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu, kata sebuah persatuan seni, bukanlah untuk mana-mana individu yang "cepat koyak."

Justeru Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyarankan agar individu yang tidak memiliki jiwa tahan lasak mengelak daripada mengisi jawatan tersebut.

Presiden Seniman Zed Zaidi berkata memang menjadi lumrah sesuatu jawatan kanan seperti pengerusi, ketua pengarah atau ketua pegawai eksekutif (CEO) mana-mana agensi boleh berubah-ubah terutama jika terdapat kepincangan pentadbiran.

“Itu kerusi panas, jangan duduk di situ kalau cepat koyak. Macam saya ini lainlah, dah tak kisah (sering dikecam).

“Kita sedia maklum, orang yang memegang jawatan ketua pengarah dan CEO Finas itu (boleh) keluar dan masuk. Itu dah jadi perkara biasa kita lihat,” katanya.

Zed berkata demikian sebagai mengulas kekosongan jawatan CEO Finas sejak penyandang mutakhirnya, Md Nasir Ibrahim, ditamatkan kontrak lebih awal.

Ia kemudian mengundang cakap-cakap belakang berhubung beberapa nama yang disebut-sebut bakal mengisi tempat tersebut. Bagaimanapun sehingga kini tempat ditinggalkan Md Nasir itu masih terbiar kosong.

Kata Zed memang wajar Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mempertimbangkan senarai calon berdasarkan kemahiran mereka agar sesuai dengan dasar kerajaan.

“Saya kenal nama-nama itu, yang disebut-sebut itu bukanlah tak layak, cuma nanti jadi lagi isu seperti lantikan dulu-dulu.

“Misalnya dalam pelantikan dua tahun; untuk enam bulan pertama, seorang CEO perlu faham skop tugasnya terlebih dulu, enam bulan kedua baru nak merancang.

“Seterusnya, sampai habis kontrak - dari segi pelaksanaan. Kalau tak selesai, CEO atau ketua pengarah ditukar baru. Kalau asyik begini, macam mana masalah industri nak selesai?” soal pemilik nama penuh Rozaidi Abdul Jamil itu.

Pisang berbuah banyak kali

Baru-baru ini Md Nasir memfailkan saman terhadap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, atas dakwaan dia diberhentikan secara tidak sah oleh kerajaan.

Pemberhentian itu dilakukan lima bulan sebelum kontrak Md Nasir tamat.

Md Nasir dalam satu sidang media khas menyifatkan dirinya ibarat dizalimi kerana pemecatan secara mengejut itu.

Selaku plaintif Md Nasir, 62, turut menamakan Finas, pengerusinya, Kamil Ahmad Othman serta pengarah perbadanan terbabit, Mastura Ahmad Mustafa, Noor Azam Shairi dan Idwan Ariff Abdul Rahman sebagai defendan.

Dalam writ dan pernyataan tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dia menuntut surat penamatan kontrak yang ditandatangani Kamil pada 31 Mei lalu adalah tidak sah mengikut undang-undang dan terbatal.

Md Nasir juga membuat tuntutan lain seperti ganti rugi khas kira-kira RM135,000 serta faedah 5 peratus, selain ganti rugi am dan bayaran lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Nam Ron

Pengarah dan pelakon Nam Ron pula mendesak KKD segera mengumumkan nama bagi mengisi jawatan CEO Finas selepas ketiadaan Md Nasir awal Jun lalu.

Ditanya mengenai pemecatan Md Nasir itu, Zed berkata, dia bersyukur kerana harapannya menjadi kenyataan, sekali gus mendakwa ia telah "menyelamatkan" Finas.

“Alhamdulillah, saya orang paling gembira kerana berjaya selamatkan Finas. Dia sepatutnya meletak jawatan secara bermaruah dan teruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Untuk rekod sebelum ini Zed pernah mendesak Md Nasir berundur susulan timbul beberapa isu termasuk pertikaian mengenai kawasan parkir yang digunakan untuk tujuan khas seperti menjemput artis veteran.

Bagi mengelak timbul isu saman-menyaman lagi, Zed mencadangkan agar KKD mempertimbangkan calon yang benar-benar serasi dengan dasar kerajaan.

Baginya, langkah tersebut lebih menjimatkan masa untuk individu terbabit memahami dasar-dasar kerajaan.

“Berbanding pilih orang luar, lebih baik pilih seseorang yang memang ada dalam agensi kerajaan atau pegawai tadbir dan diplomatik.

“Kalau lantik orang luar lagi, masalah sama takkan selesai.

"Seniman sebagai pemain industri tak nak pisang berbuah banyak kali,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS