Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pita ajak Taylor datang Thai, janji nyanyi sama-sama

Calon perdana menteri Pita Limjaroenrat menjemput bintang pop AS, Taylor Swift, untuk menjadikan Thailand sebagai antara destinasi bagi konsert jelajah penyanyi terbabit The Eras Tour di Asia.

Pita membuat tawaran tersebut menerusi Twitter.

“Hey Taylor! Saya peminat anda. Thailand kini kembali ke landasan untuk menjadi sebuah negara demokrasi sepenuhnya selepas anda terpaksa membatalkannya kali terakhir kerana rampasan kuasa.

"Rakyat Thai telah bersuara melalui pilihan raya dan kami semua berharap untuk mengalu-alukan anda ke negara kami yang indah ini!

"Datanglah dan saya akan menyanyikan Lavender Haze bersama anda," ciapnya.

Ketika ini Singapura menjadi satu-satunya lokasi konsert Taylor di Asia Tenggara, dan ia menjadi perhentian kedua penyanyi berkenaan di Asia selepas Tokyo, Jepun.

Konsert jelajah penyanyi yang juga penggubah lagu itu membabitkan 131 konsert di lima benua, bermula dengan Glendale, Arizona di AS pada Mac dan dijangka berakhir di London, England pada Ogos 2024.

Laporan media menunjukkan lebih 22 juta individu telah mendaftar untuk jelajah Singapura.

Penyanyi itu akan membuat persembahan enam hari di Stadium Nasional Singapura dari 2 hingga 4 Mac dan 7 hingga 9 Mac 2024.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau turut menggunakan platform Twitter bagi meyakinkan Swift untuk menjadikan Kanada sebagai destinasi jelajahnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS