Semakin meminati lagu-lagu berunsur ketuhanan, pelakon dan penyanyi Fazura mengakui teruja apabila buat julung kali ditawarkan untuk berkolaborasi dengan pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani.
Kata Fazura, seiring dengan perjalanan yang dipilihnya kini dia ingin menjadi seorang penghibur yang boleh mengetengahkan mesej positif buat pendengar.
“Sekarang ramai orang ada masalah kemurungan, jadi apabila berniat nak hasilkan album, biarlah lagu-lagunya itu nanti ke arah ketuhanan. Kerana saya ingin beri semangat pada semua orang.
“Kami dah rakamkan lagu Jika Cinta Allah itu sejak tahun lalu. Kami juga pernah rancang nak umumkan pada konsert Faztival Fazura tahun lalu tapi tak kesampaian.
“Jika kena dengan aturan Allah, ia akan diterbitkan sempena ulang tahun saya (pada Sept ini). Insya-Allah kami akan umum lagu itu nanti,” katanya.
Berkongsi kisahnya dengan Ahmad Dhani, pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu berkata, dia amat meminati karya-karya dihasilkan komposer yang juga vokalis Dewa 19 berkenaan.
Jelasnya, setakat ini dia belum menemui seseorang yang boleh menggambarkan hubungan manusia dan Maha Pencipta sama seperti pemuzik berasal dari Surabaya itu.
“Saya kalau dengar lagu, memang tak dengar dah lagu lain. Dengar lagu Dewa 19 saja sebab saya rasa lirik Ahmad Dhani, kalau di Malaysia tak sampai (elemen spiritual) lagi.
“Tapi lirik Ahmad Dhani itu sampai dan kena dengan apa yang saya suka," katanya.
Mahu perkasakan wanita
Menurut Fazura pertama kali mendengar lagu-lagu Ahmad Dhani dia terus 'jatuh cinta' pada lirik dan irama yang dihasilkannya.
Fazura ditemui pada majlis pelancaran program Innovathon di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.
Tambah Fazura, 39, lagu Jika Cinta Allah pernah dinyanyikan Ahmad Dhani namun ia diberi nafas baru.
Selain Ahmad Dhani, isteri pelakon Fattah Amin itu turut mengumumkan bakal berkerjasama dengan seorang lagi komposer dan penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslaw.
Namun katanya setakat ini belum diputuskan lagi bentuk kerjasama berkenaan namun mungkin membabitkan lagu mengenai memperkasakan wanita.
Sementara itu, mengulas mengenai karier lakonannya, Fazura berkata, dia bakal membuat kemunculan semula dalam drama bersiri tidak lama lagi selain terlibat dalam sebuah filem.
Pun begitu dia belum boleh berkongsi lebih lanjut lagi mengenai perkara berkenaan.
Pada masa sama Fazura berkata dia perlu menjadi lebih selektif sekiranya ingin kembali beraksi dalam mana-mana penggambaran kerana kini dia memperjuangka misinya ntuk memperkasakan wanita.
“Zaman sekarang kita perlu beri contoh pada masyarakat khususnya mereka yang mengalami masalah rumah tangga. Jadi, saya nak perjuangkan martabat wanita.
“Sudah-sudahlah paparkan gambaran wanita penyondol dalam drama bersiri misalnya, ia satu teladan yang tak baik dan akan lahirkan lebih banyak golongan itu,” katanya.
Menurut Fazura, dia juga tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan bukan kerajaan (NGO) bagi terus memperkasakan wanita pada suatu hari nanti.
“Ada banyak NGO tawarkan peluang untuk bekerjasama cuma saya terlalu sibuk dengan perniagaan, selain jadi juri dan pelakon. Tapi memang ada perancangan ke arah itu,” katanya.