Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
John Dihani menyesal, rayu nak jumpa Shuib
Diterbitkan:  Jul 4, 2023 9:29 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Selepas Shuib nekad untuk menggunakan saluran undang-undang untuk bertindak, pemilik Instagram (IG) dikenali sebagai John Dihani hari ini tampil memohon maaf atas keterlanjurannya.

Individu terbabit mengakui kesilapannya memuat naik sebuah poster iklan barang kemas serta membuat komen yang mengundang ke arah fitnah membabitkan Shuib.

Justeru, dia juga berharap dapat bertemu empat mata dengan pelawak itu bagi menyatakan kekesalannya.

“Kepada Abang Shuib, saya harap sudi terima kedatangan saya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kekhilafan saya dalam berkongsi posting berkenaan yang boleh menjerumus kepada fitnah,” katanya.

Kata John Dihani dia juga bertanggungjawab membenarkan komen pengguna lain dalam media sosial tersebut sekali gus membawa fitnah kepada Shuib serta arwah isterinya, Siti Sarah Raisuddin.

“Jauh dan ikhlas di sudut hati sejujurnya saya menyesali tindakan berkongsi posting semasa yang berlegar tanpa melihat kesan dan akibat dengan perkongsian yang membuta tuli itu pada Shuib sekeluarga,” katanya.

Shuib dalam sidang media khasnya hari ini berkata, dia enggan memaafkan John Dihani kerana beranggapan permohonan yang dibuat individu terbabit tidak ikhlas.

Shuib yang juga penyampai radio itu berkata, peguam mewakilinya sudah menghantar surat kepada John Dihani untuk memulakan tindakan undang-undang.

Sidang media itu turut dihadiri seorang lagi pengguna media sosial yang terlibat menyebarkan dakwaan berkenaan, Zulhairi Abu Othman.

Pekerja swasta itu bagaimanapun lebih awal mengakui kesilapannya dan memohon maaf kerana mengaitkan Shuib dan Siti Sarah Raisuddin dengan organisasi Freemason.

Justeru Shuib memaafkan Zulhairi dan beranggapan pekerja swasta itu seorang yang naif selain berbudi bahasa.

Beberapa hari lalu Shuib, 38, dituduh memaksa Siti Sarah untuk ditidurkan bagi membuktikan keberkesanan Covid-19.

Untuk rekod, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19 ketika dia sedang hamil anak bongsunya Ayash Affan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS