Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sue-On bukan bahan pergunakan nama Mamat Khalid

Sebelum memulakan proses penggambaran filem Sue-On, selaku penerbit Awie mengambil langkah pertama mendapat restu daripada tokoh yang sangat disegani - sekali gus dianggap abang sendiri - dalam dunia perfileman, iaitu Allahyarham Mamat Khalid.

Justeru kata Awie, tiada niat untuk dia menumpang populariti seseorang yang begitu banyak berjasa kepadanya.

“Sebelum buat Sue-On pengarah Razif Ajiboy Rashid ada hubungi arwah Mamat Khalid untuk beritahu berkenaan filem ini.

“Kami mahu minta kebenaran dan sebagai tanda hormat pada seorang abang.

“Saya juga pernah bekerja dengan Mamat. Dia yang ‘pecahkan’ hidup saya dari seorang rockers kepada Husin, disebabkan itu, saya juga anggap dia seorang guru.

“Jadi, tak ada sebab untuk orang kata kami nak tumpang populariti atau kami buat filem Sue-On sebab nak tiru hasil tangan Mamat Khalid,” katanya.

Namun ujar Awie, Mamat atau nama asalnya Mohamad Mohd Khalid dijemput Ilahi sewaktu pembikinan filem masih dijalankan.

“Ketika hubungi arwah, dia ketika itu tak berapa sihat.

“Masa kami sedang melakukan penggambaran, dia meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Karya genre seram komedi itu dibintangi barisan pelakon seperti Awie sendiri, Reen Rahim, Ropie, Azlee Senario, Nazia Mustafar, Achey, dan Shawani.

Sue-On terbitan Rumah Produksi Merah itu dijadual menjengah pawagam di seluruh negara pada 6 Julai ini.

Untuk rekod, Mamat menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 24 Oktober 2021 pada usia 58 tahun akibat serangan jantung.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga Allahyarham Mamat, Awie berkata, dalam pengetahuannya, ia mendapat ‘restu’ daripada anaknya, Amen Khalid.

“Yang kami tahu; anak dia Amen OK. Cuma yang lain-lain kami tak tahu,” katanya.

Tambah Awie atau nama asalnya Ahmad Azhar Othman itu, dia sekadar mahu meneruskan legasi Mamat yang terkenal dengan filem-filem seperti Zombie Kampung Pisang dan trilogi Hantu Kak Limah.

Naskhah-naskhah sedemikian katanya, mudah menarik perhatian penonton kerana ia komedi yang dipaparkan secara santai.

“Kami ambil inspirasi daripada Mamat. Ini cuma sebuah cerita yang santai sebab ramai orang tak suka filem yang kompleks, penat kena fikir tapi akhirnya tak dapat cari jawapan.

“Pada masa sama, Sue-On untuk mereka yang merindui watak-watak seperti Hantu Kak Limah dan Husin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS