Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Iqbal guna ‘kelebihan’ sebagai pempengaruh bantu pesakit saraf.
Diterbitkan:  Jun 28, 2023 8:00 PM
Dikemaskini: Jul 17, 2023 8:24 AM

Pempengaruh sensasi media sosial dan usahawan Ahmad Iqbal Zulkefli terpanggil untuk menyertai program sebuah yayasan menziarahi Muhammad Hafizuddin yang menderita sakit saraf.

Ini selepas namanya ‘dipetik’ untuk membantu pemuda berkenaan.

Kata Iqbal, dia sempat membantu Yayasan Ikhlas (YI) bersama sukarelawan untuk mengemas rumah, membaiki bahagian rosak dan mengecat kediaman, membeli peralatan dapur serta katil khas untuk Hafiz.

“Sebagai pempengaruh, ada kelebihan mempunyai pengikut ramai.

“Dari situ sebaran info sebegini dapat mensasarkan lebih ramai orang untuk tahu isu yang ada,” katanya.

Iqbal turut memuat naik video di laman Instagramnya mengenai kunjungan terbabit.

Justeru, Iqbal berharap lebih ramai pempengaruh atau artis dapat turut membantu untuk menyebarkan mesej yang sama.

Tambah Ahmad Iqbal lagi, kempen sebegini harus diuar-uarkan dengan lebih meluas lagi sebab masih ramai rakyat Malaysia yang tersisih dan memerlukan bantuan.

“Saya juga menyeru orang ramai sama-sama menderma walau untuk sekecil-kecil nilai bermula RM10 seorang.

“Dengan kempen sebegini orang ramai senang mendapat maklumat untuk sama-sama turut membantu meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Disebabkan masalah kesihatan dihidapi, bentuk fizikal Hafiz yang sudah berusia 21 tahun nampak kecil dan kurus kerana berat badannya hanya kira-kira 10 kilogram.

Lima bulan selepas kejadian terjatuh tangga, anak bongsu daripada lima beradik itu mengalami demam panas hingga pergerakannya terbatas dan tidak lagi seimbang.

Musibah yang menimpa Hafiz menyebabkan dia tidak dapat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, pengerusi Yayasan Ikhlas, Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, pihaknya sedang menjalankan Kempen Bantu Pesakit Sihat (BPS) dalam usaha mengumpul dana bagi membiayai kos rawatan Hafiz selain beberapa pesakit lain.

“Kempen Bantu Pesakit Sihat ini sudah berjalan selama dua tahun lalu, di mana pihak kami (Yayasan Ikhlas) dalam usaha membantu golongan yang tidak berkemampuan ini yang tersisih daripada segi pembiayaan bantuan kewangan dan perubatan.

“Ikutkan sudah ramai pesakit yang pihak kami berjaya bantu sejak kempen ini berjalan.

“Kes Hafiz antara yang terpencil kami usahakan baru-baru ini. Kami berusaha mahu membantu dan mengurangkan beban keluarganya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS