Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas berserban, berjubah Iwan tetap dibayangi dangdut

Disebabkan lenggok gaya alunan suaranya masih sama, segelintir peminat menyangka Iwan Syahman masih kekal sebagai penyanyi dangdut walaupun dia kini menumpukan daya seninya kepada lagu ketuhanan.

Iwan yang pernah digelar Raja Dangdut Malaysia itu berkata, persepsi berkenaan dapat dikesan daripada peminat setiap kali dia muncul dengan lagu baru.

“Perkara ini terjadi setiap kali saya buat lagu baru.

“Tak kira muzik yang macam mana saya tampilkan - sama ada elemen Arab atau pop - peminat tetap ingat saya masih macam menyanyi lagu dangdut.

“Hal itu mungkin sebab gaya saya menyanyi masih macam menyanyikan lagu dangdut,” katanya.

Dia yang terkenal dengan lagu Secangkir Madu Merah itu sebenarnya sudah 12 tahun mengubah haluan dalam kegiatan seninya, daripada lagu-lagu berirama dangdut kepada kerohanian sebagai salah satu cara dia berdakwah.

Mengenang waktu sebelum penghijrahannya itu, Iwan berkata, pernah suatu ketika dia didatangi seseorang yang secara sinis menyindir kerana beranggapan dia seperti sudah tiada harapan untuk berubah.

“Pernah ada orang pandang saya dan cakap saya ini macam tak ada harapan (nak berubah ke arah kebaikan).

“Pada ketika itu saya memang banyak lupa diri sebab apabila kita banyak duit mudah hanyut, macam-macam ujian yang datang termasuk perempuan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Iwan, 61, dia bersyukur apabila situasi sekarang jauh berbeza.

Elak doa minta kaya

Menurutnya, penghijrahan dilakukan itu turut membawa impak positif dalam kalangan segelintir peminat muziknya.

Justeru, kata Iwan, dia sentiasa berdoa agar diberi kekuatan untuk terus hidup secara sederhana, selain istiqamah melakukan kerja dakwah melalui jalan yang ada.

“Ada ramai (yang ikut berhijrah). Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk berdakwah.

“Cuma kita perlu hidup sederhana dan jangan minta mewah. Apabila berdoa, jangan minta nak kaya sebab ujiannya lebih besar. Itu yang saya pernah lalui dulu.

“Ujian itu yang ajar kita supaya jangan jadi macam dulu lagi. Itu sebab pentingnya istiqamah dan saya selalu berdoa agar Allah tetapkan hati berada pada jalan ini.

“Inilah dia kerja dakwah dalam mencari maksud kehidupan,” katanya.

Sementara itu, mengulas kerjaya muziknya, Iwan berkata, dia akan terus berkarya melalui lagu-lagu ketuhanan.

Cuma menurut penyanyi itu, tahap penjualan karya sudah menjadi terhad memandangkan perubahan gaya hidup semasa yang lebih tertumpu ke arah digital.

“Dalam 10 tahun berhijrah saya berjaya siapkan tujuh album. Cuma zaman sekarang situasi menggalakkan lagi penjualan single.

“Kalau buat 10 lagu tak semua habis terjual sebab era digital.

“Bagaimanapun alhamdulillah, ekonomi saya stabil terutama ada beberapa lagu yang masih mendapat royalti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS