Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah filem Titanic pernah diajak naik Titan
Diterbitkan:  Jun 25, 2023 4:07 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Pengarah Hollywood yang sinonim dengan filem Titanic, James Cameron mendedahkan dia pernah diundang untuk menaiki Titan sebelum berlakunya tragedi kapal selam itu meleduk berhampiran bangkai kapal Titanic baru-baru ini.

Cameron berkata, dia mendapat jemputan berkenaan daripada Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate, Stockton Rush - salah seorang daripada lima penumpang yang maut.

“Stockton Rush bertanya kepada saya sama ada saya mahu pergi ke sana dan menyelam musim ini. Saya tak berminat,” kata dalam satu temu bual baru-baru ini.

Pengarah itu mendakwa, pasukan yang membina Titan mengambil jalan pintas untuk menyiapkan kapal berkenaan.

Katanya, OceanGate laitu syarikat induk kepada Titan tidak menerima pensijilan kerana mereka tahu pembinaan kapal itu tidak akan lulus.

“Saya mengesyaki teknologi yang mereka gunakan. Jadi, saya tak akan menaiki kapal selam itu,” katanya dipetik BBC.

Pengawal Pantai Amerika Syarikat sebelum ini memaklumkan lima penumpang dilaporkan terbunuh di lokasi kejadian apabila Titan yang dinaiki mereka meleduk dan runtuh dari dalam, di dasar Laut Atlantik.

Misi pencarian lima penumpang kapal selam itu yang dikendalikan oleh syarikat OceanGate Expeditions berakhir dengan penemuan serpihannya di dasar laut.

Bahagian ekor Titan bersama serpihan lain ditemui kira-kira 500 meter dari bangkai Titanic, yang terletak pada kedalaman 4,000 meter di bawah laut berkenaan.

Anggota mencari dan menyelamat berkata, kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia Ahad lalu, sebelum pesawat tentera menggunakan sonar mengesan apa yang mereka sangkakan bunyi ‘hempasan’ di dalam air.

Cameron sebelum ini berjaya melakukan 33 penyelaman tenggelam ke bangkai Titanic.

Filem Titanic pada 1997 dihasilkan Cameron memaparkan kisah romantis yang dibintangi pelakon Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet. Latar belakang filem itu menceritakan nasib malang yang menimpa RMS Titanic apabila ia tenggelam saat pelayaran sulungnya pada 1912.

Filem itu memenangi 11 Anugerah Akademi pada 23 Mac 1998 termasuk Filem Terbaik 1997. Pada 2006, Titanic menjadi filem panggung pecah terbaik dalam sejarah perfileman ketika itu.

Untuk rekod, Titan dibina daripada gentian karbon dan titanium. Walaupun kapal selam Titan itu tidak diperakui tetapi ia tidak wajib.

Pada 2012, Cameron menggunakan teknologi berbeza untuk ekspedisi Deepsea Challenger di Pasifik, yang membawanya turun ke 10,912m (35,800 kaki), di parit lautan paling dalam yang diketahui.

Bangkai Titanic berada 3,810m (12,500 kaki) ke bawah.

Cameron, 68, berkata, apabila dia mengetahui kapal selam itu kehilangan kedua-dua navigasi dan komunikasi, dia serta-merta mengesyaki bahawa berlakunya bencana.

“Saya dapat merasakan sampai ke tulang apa yang berlaku. Untuk alatan elektronik kapal selam dan sistem komunikasinya gagal serta transponder penjejakannya gagal serentak bermaksud kapal musnah,” katanya.

Susulan itu, Cameron yang juga terkenal dengan The Terminator dan Avatar mendapatkan maklum balas daripada kenalannya yang terdiri daripada peminat kegiatan penerokaan laut dalam.

“Dalam tempoh kira-kira sejam saya mendapati fakta berikut. Mereka berada pada ketinggian 3,500 meter (11,483 kaki), menuju ke dasar pada 3,800 meter.

"Komunikasi mereka hilang, dan navigasi hilang dan saya berkata serta-merta; anda tak boleh kehilangan komunikasi dan navigasi sekali gus tanpa berlaku malapetaka dan perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah berlaku ledukan,” katanya.

Cameron mencadangkan bahawa terdapat ironi yang mengerikan dalam insiden Titan dan anak kapalnya selain menyamakan tragedi itu dengan kehilangan Titanic pada tahun 1912.

“Kita kini mempunyai satu lagi bangkai kapal yang malangnya berdasarkan prinsip sama iaitu tidak mengendahkan amaran. OceanGate telah diberi amaran,” katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS