Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Maman risau banyak karya ‘sedap’ bukan dari negara ini

Kebimbangan melihat lebih banyak karya “sedap” bukan berasal dari industri tempatan mendorong penyanyi Maman Teacher’s Pet tampil dengan album berjudul Aku selepas lebih 20 tahun menyepi.

Kata penyanyi kelahiran Singapura dan kini berstatus warganegara Malaysia itu, kekurangan karya bermutu bukan saja merugikan pasaran bahkan seseorang penyanyi di kala mereka meniti usia senja.

“Kita boleh lihat kebanyakan lagu yang sedap bukan dari sini, jadi itu agak membimbangkan.

“Macam mana dengan nasib bintang rock kita apabila mereka semakin berusia tapi makin susah, dan itu amat ketara.

“Di mana silapnya? Mungkin daripada produk yang kita ada.

"Kalau produk 'cap ayam'maka cap ayamlah yang di hujung; kalau produk berkualiti, ia akan dibawa oleh generasi muda dengan bangga,” katanya.

Langkah menerbitkan Aku itu juga diambil penyanyi terbabit ketika industri tanah air ‘gersang’ dengan album.

Yakin keadaan boleh berubah

Katanya dia berasa terpanggil untuk menghasilkan album berkualiti kerana sudah ada ruang untuk berbuat demikian, selain semangat yang diberikan peminatnya di negara ini.

“Saya rasa dah lama artis tak hasilkan album yang benar-benar berkualiti.

“Namun, saya sedar pada waktu ini industri sedang gersang dan ia menyebabkan ramai artis lebih selesa mempertaruhkan single berbanding album yang menelan kos begitu mahal,” katanya semasa ditemui pada majlis pelancaran Aku di Petaling Jaya baru-baru ini.

Aku menempatkan tujuh lagu berkisahkan kehidupan Maman.

Album itu turut menawarkan siri NFT yang diberi nama Aku - The Maman.

Ia akan dilancarkan pada penghujung tahun ini dengan kerjasama Pentas IO, iaitu sebuah pasaran NFT terbesar di rantau Asia Tenggara.

Menurut Maman situasi ‘gersang’ itu juga semakin dirasai apabila pada zaman kini tidak lagi sama seperti era penyanyi dulu.

Katanya, ketika itu, dia akan ternanti-nanti lagu baru daripada penyanyi lain untuk dimainkan di stesen radio.

“Dulu, setiap minggu ada saja lagu baru di radio. Sekarang sudah berkurangan karya yang bagus,” dakwanya.

Justeru, Maman atau nama sebenarnya Rosman Lamri berharap, tindakan dia menghasilkan albul baru itu boleh menjadi pendorong buat penghibur lain mengambil inisiatif sama.

“Saya percaya situasi ini boleh berubah kerana cerita tak akan lengkap dengan hanya satu lagu.

“Bagi saya, karya juga kurang manis jika terlalu singkat, jadi saya berharap rakan seperjuangan akan kembali hasilkan album,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS