Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Search, Barbarik bergabung untuk 'gegarkan' Shah Alam

Susulan impak positif pencinta muzik rock semasa persembahan mereka tahun lalu, kumpulan Search dan Barbarik berpadu tenaga pula untuk konsert Double Trouble 2 yang dijadual berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam 5 Ogos depan.

Gitaris Barbarik, Joe, berkata walaupun berdepan banyak cabaran mereka berjanji untuk memberikan yang terbaik semasa konsert itu nanti.

“Kedua-dua konsert Search dan Barbarik sebelum ini memang berjaya. Inilah cabarannya buat kami untuk mengekalkan momentum berkenaan,” katanya.

Menurut pengasas kumpulan Barbarik itu lagi, kedua-dua band terbabit banyak berbincang dan bertukar-tukar idea bagi memastikan konsert berkenaan menjadi antara persembahan yang terbaik.

“Saya kerap berjumpa dan berbincang dengan Noordin dan Kid Search. Kami juga banyak mengadakan pertemuan dengan penganjur,” katanya.

Joe berkata, konsep mereka kali ini tidak banyak beza dengan konsert Double Trouble yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Kali ini, tambahnya, mungkin kedua-dua band akan menyampaikan 10 lagu masing-masing selain enam lagu bersama-sama.

"Tapi ini bukan masing-masing nak tunjuk terror' bukan nak battle tapi kami akan beraksi sama-sama.” katanya.

Konsert Search Rockin' On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell dan konsert Barbarik - Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur sebelum ini meraih pujian ramai kaki rock sepanjang tahun lalu.

Biar bakat baru buktikan

Sebulan selepas kedua-dua konsert itu berlangsung - pada Jun dan Dis 2022 - peminat masih memperkatakan tentang kehebatan band yang menjadi idola mereka.

Misalnya peminat terus berkongsi pendapat serta memuat naik video konsert berkenaan di media sosial masing-masing.

Konsert Double Trouble 2 menampilkan band Search terkini yang dibarisi Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (vokalis dari Indonesia) dan Minn (dram).

Mereka akan berkongsi pentas dengan Barbarik yang dianggotai Joe Branko (gitar), Muss (penyanyi), Ainol (dram), Rozaimie (bass) dan Adi (keyboard).

Konsert berkenaan dianjurkan Alpha Nation, manakala pengurusan produksi oleh Laskhar Entertainment & Playmad Sdn Bhd. Urusan promosi pula dilakukan Mewah Event Management (MEM).

Untuk rekod, penganjuran konsert berkenaan berinspirasikan daripada album Double Trouble 2 yang menggabungkan Search dan Wings pada 1998.

Search ketika itu menampilkan Amy selaku penyanyi, Noordin (gitar), Kid (gitar), Fauzi (bass) dan Allahyarham Yazit (dram), manakala Wings pula dibarisi Muss (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram).

Sementara itu, Noordin berkata konsert Double Trouble 2 menampilkan kelebihan baru apabila menggabungkan pemuzik generasi baru seperti Denden dan Minn dari Search manakala Ainol, Adi dan Rozaimie dari Barbarik.

“Kali ini biar mereka pula buktikan. Saya, Kid, Yan, Joe dan Muss adalah orang lama dan semua peminat sudah tahu. Mereka pula pemuzik generasi selepas kami yang cukup berbakat,” katanya.

Noordin berkata, dia yakin ada kejutan buat peminat nanti dan kedua-dua band berazam untuk membuatkan peminat puas selepas menonton persembahan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS