Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak Didie abadikan detik resepsi dengan sut arwah Ridzuan Hashim

Bakal meraikan majlis resepsi perkahwinan Sept depan, Didie Alias berkata anaknya ingin mengabadikan hari bahagia itu dengan cara tersendiri iaitu menyarung sut milik allahyarham Ridzuan Hashim.

Menurut Didie, anaknya Muhammad Dhanial terjumpa sepasang sut yang masih elok sewaktu mereka anak-beranak berkunjung ke kediaman sewa arwah Ridzuan untuk mengemas barangan peribadi pelakon terbabit baru-baru ini.

“Sewaktu Dhanial cuba pakai satu sut arwah bapanya, kebetulan muat dan tak perlu buat penambahbaikan besar, cuma pada seluar yang harus dipotong disebabkan bapanya tinggi.

“Jadi, dia ambil keputusan untuk menggayakan pakaian berkenaan pada majlis resepsinya di Kuala Lumpur nanti," kata Didie.

Tambah pelakon itu mereka mengambil masa agak lama untuk menyelesaikan urusan mengemas barangan peribadi Ridzuan.

Ketika itu juga, katanya, mereka berdepan dengan perasaan hiba apabila terkenang pelbagai kenangan yang dilalui bersama.

“Sebenarnya lama juga kami nak habis berkemas itu sebab pegang sini (barang arwah) ada yang menangis, pegang sana orang (anak) itu pula menangis.

“Arwah seorang yang pengemas, semua pakaian miliknya tersusun rapi sampai baju kemeja T pun dia gosok,” katanya.

Didie mendirikan rumah tangga dengan Ridzuan pada 1991 namun perkahwinan itu bertahan selama 11 tahun.

Selain Dhanial, mereka juga dikurniakan empat anak perempuan, Nur Dhaniyah, 30; Nur Dinie, 27; Nur Danie, 25; dan Nur Diana, 24.

Ridzuan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4 Mei lalu.

Berarak dari stesen LRT

Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd @ Ali berkata, majlis resepsi Dhanial itu juga bakal menerima tajaan Temu Jelatek The Event Space yang bernilai RM500,000.

Menyifatkan ‘pemberian’ itu sebagai tuah datang bergolek buat Dhanial, Didie, 51, berkata ia kemungkin disebabkan anaknya itu berbakti tanpa jemu kepada Ridzuan.

“Anak saya beritahu dia terkejut ada pihak mahu menaja perkahwinannya sedangkan dia bukan siapa-siapa dalam industri.

“Tapi saya ingatkan, ini adalah rezeki kerana dia sabar menjaga bapanya hingga ke akhir hayat.

"Dia juga menjadi orang terakhir berada dengan arwah,” katanya ketika ditemui pada majlis Temu Jelatek The Event Space yang diadakan di sebuah kompleks beli belah hari ini.

Untuk rekod, Dhanial selamat bergelar suami kepada Nurkhairunisa pada 20 Mei lalu di Tawau, Sabah.

Pada majlis resepsi itu nanti, Didie berkata dia ingin Dhanial, 29, dan menantunya Nurkhairunisa Zulkifli melakukan sedikit kelainan iaitu berarak menaiki LRT dari stesen Setiawangsa dan turun di Jelatek sebelum ke dewan utama Temu Jelatek untuk majlis resepsi berkenaan pada sebelah malam.

“Ini satu inisiatif untuk menghebahkan kepada orang ramai bahawa lokasi majlis perkahwinan itu strategik kerana ia boleh diakses melalui pengangkutan awam,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS