Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shatirah Amanda terkejut ditawar jadi perempuan simpanan

Seorang penyanyi yang sedang menempa nama, Shatirah Amanda, 23 terkejut apabila dia ditawarkan untuk menjadi perempuan simpanan oleh beberapa penaja agar dapat menerbitkan lagu.

Shatirah atau nama sebenarnya Tengku Shatirah Amanda Tengku Ahmad Badrulddin mengatakan bahawa dia turut didesak untuk menjadi perempuan simpanan agar dapat meneruskan kehidupannya sebagai penyanyi.

Namun, Shatirah menolak pelawaan itu kerana memikirkan prinsip dan maruah selain yakin bahawa bakatnya merupakan aset utama untuk menjadi penyanyi.

“Sejujurnya mula-mula saya takut juga apabila ditawarkan sebegitu. Pada awalnya saya tertanya-tanya adakah ini sudah jadi kelaziman untuk menjadi anak seni?

“Namun, saya anggap ini sebagai cabaran untuk saya dan alhamdulillah saya temui funder (penaja) yang ikhlas dan lagu terbaru ini berjaya disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyanyi yang berasal dari Kelantan itu akan tampil dengan lagu Langit Bukan Limit yang mempersembahkan genre pop dan hip-hop dengan sentuhan komposer Mas Dewangga.

Lirik lagu itu diilhamkan sendiri oleh Shatirah yang mengisahkan tentang semangat wanita kental yang tidak mudah mengaku kalah walaupun terpaksa berjuang bersendirian untuk mencapai cita-citanya.

Dia juga berharap agar lagu yang membawa aspek pemerkasaan wanita ini akan memberi semangat kepada para pendengar.

“Saya berharap para pencinta muzik akan dapat menerima kepelbagaian konsep dan genre yang dibawa kali ini.

“Saya juga berharap impian dan cita-cita saya untuk memperkenalkan bakat saya ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan akan tercapai,” katanya.

Shatirah turut menyatakan bahawa peluang berkolaborasi dengan komposer yang merupakan finalis Anugerah Juara Lagu 2022 merupakan pengalaman menarik.

Lagu Langit Bukan Limit boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengari melalui aplikasi penstriman dalam talian seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, KKBox, Tidal dan Deezer bermula pada 20 Jun yang lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS