Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bahagia berpoligami semula, PU Abu enggan kenang kisah lama

Pernah dibayangi kontroversi rumah tangga, bekas peserta program Pencetus Ummah (PU), Abu Sufyan, kini mengakui sedang mengecapi kebahagiaan kerana kembali berpoligami.

Dia yang lebih dikenali sebagai PU Abu memberitahu, ketika ini dia sudah kembali menjadi suami kepada kedua-dua wanita yang pernah diceraikan.

Justeru, kata PU Abu, dia enggan lagi dikenang kerana kontroversi lama, sebaliknya ingin mengambil pendekatan membina hubungan kekeluargaan yang lebih baik dengan sokongan doa daripada orang ramai.

“Saya nak jalani kehidupan yang lebih bahagia selepas rujuk dengan isteri kedua, Hana Azraa, selain bersama isteri pertama.

"Segala lafaz cerai itu datang daripada saya...

"Sayalah pelafaz dan jika ingin merujuk pun, saya. Segala kenyataan benar hanya daripada saya. Jadi, saya tak mahu dipandang sebagai PU Abu kontroversi lagi," katanya.

Menurut PU Abu, kecaman daripada pihak yang berkenaan memang memberi kesan negatif kepada kehidupan peribadinya, justeru dia berharap mereka memberikan doa yang baik buat keluarganya.

Bukan orang ketiga saja

Meskipun tidak berkesempatan untuk menyatukan kedua-dua isterinya pada Aidilfitri lalu ekoran kekangan pekerjaan, PU Abu bersyukur rumah tangga mereka kini aman, bukannya berantakan seperti suatu ketika dulu.

“Kedua-dua isteri tak lagi bergaduh, cuma tak ada rezeki untuk mereka beraya bersama disebabkan saya bekerja di luar negara iaitu berulang-alik ke Madinah hampir setahun.

“Saya bekerja di sana sebagai pengurus operasi Persada Global Holidays dan pulang ke Malaysia tiga bulan sekali,” katanya.

Abu berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran pakej umrah Mukim 80 Hari di Kelana Jaya, semalam.

Kemelut membabitkan PU Abu dan isteri pertama bermula selepas dia menceraikan Ain ‘Afini Latif ketika wanita terbabit sarat mengandung tujuh bulan.

Konflik itu didakwa ada kaitan dengan kemunculan Hana Azraa selaku orang ketiga.

Ain ‘Afini

Bernikah pada 2018, Ain ‘Afini pernah mendedahkan, suaminya itu menyatakan hasrat untuk berpoligami dengan Hana Azraa selepas dua bulan mereka bernikah.

Hasil perkahwinan PU Abu dengan Ain ‘Afini, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Adam Asyar, 4, dan Muhammad Aryan 'Afi, 2 tahun dan Siti khadijah, 4 bulan.

Sementara itu PU Abu dan Hana pula berkahwin pada 2019. Dia merujuk semula dengan Ain ‘Afini dua minggu selepas berkahwin dengan Hana Azraa.

PU Abu dan Hana Azraa dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Muhammad Uwais Al-Mateen yang kini berusia tiga tahun.

Sebelum itu Hana Azraa - yang merupakan ibu tunggal - mempunyai seorang anak perempuan, Afifah Aisyah, 7, hasil daripada perkahwinan pertamanya.

PU Abu dilaporkan rujuk semua dengan Hana Azraa pada Ramadan lalu selepas menceraikan usahawan terbabit pada April 2020.

Diminta berkongsi tips kebahagiaannya sekarang, PU Abu berkata, kuncinya terletak pada kesabaran seseorang.

Secara umum, katanya, perceraian bukan disebabkan orang ketiga semata-mata tapi perlu diukur melalui usaha sesuatu pasangan menjadi suami dan isteri yang baik.

“Pertama perlu sabar, kedua sabar, dan ketiga juga sabar.

“Selain itu, jangan ambil pusing kenyataan pihak luar kerana ia boleh buat kita melenting.

“Saya sering sangat dikecam sampai dah lali. Saya ada baca komen cuma, ia sekali pintas saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS