Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelindung, 'nyawa' saya dah tiada - Kilafairy
Diterbitkan:  Jun 21, 2023 6:03 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Pemergian Rohana Jalil menyedarkan Kilafairy bahawa hari paling ditakutinya tiba jua.

Aktres itu juga mengakui masa yang dipinjamkan Tuhan untuk dia bersama ibunya begitu singkat.

“Sekejap saja Allah pinjamkan Mama untuk adik di dunia ni.

“Hari paling saya takuti akhirnya tiba. Tiada pilihan tapi untuk berdepan dunia kejam ini tanpa kamu di sisi, Mama,” katanya.

Pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan itu berkongsi luahan hati buat peminat melalui Instagram miliknya.

Kilafairy, 31, turut menyifatkan ibunya itu seperti seorang pelindung dirinya.

“Pelindung, penjaga, nyawa saya dan segalanya.

“Allah ambil Mama pada hari kedua Zulhijjah, Subhanallah Allah sayang kita 70 kali ganda lebih daripada seorang anak sayang ibu dia,” katanya.

Rohana, penyanyi terkenal era 1980-an menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.30 malam tadi di Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Selangor.

Rohana atau Dara Abdul Jalil menerima rawatan di hospital berkenaan sejak April lalu.

Pada 19 Jun lalu, keadaan Rohana dilaporkan semakin lemah kerana kuman akibat kebocoran usus telah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya hari ini.

Untuk rekod, Rohana mendirikan rumah tangga bersama Jahangir Khan. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shakira Idora dan Syakila Nisa atau lebih dikenali sebagai Kilafairy.

Rohana adalah pemenang bagi pertandingan Bintang RTM pada 13 Januari 1981 yang diadakan di Auditorium Besar, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Antara lagu-lagu yang pernah dipopularkan Rohana adalah Musafir Lalu, Resah Ku, Naluri Cinta dan Jangan Main Mata.

Kilafairy berharap untuk ‘bertemu’ ibunya itu suatu hari nanti.

“Nanti adik jumpa Mama di sana OK. Rehatlah bidadari syurga. Sayang kamu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS