Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyerang anggap lempar telefon ke Bebe Rexha aksi kelakar
Diterbitkan:  Jun 21, 2023 12:16 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Seorang lelaki yang didakwa menyerang Bebe Rexha dengan melemparkan telefon bimbit ke arah bintang pop itu sewaktu konsertnya berlangsung memberitahu polis dia berbuat demikian kerana baginya tindakan itu melucukan.

Menurut pendakwa raya, insiden yang berlaku pada malam 18 Jun lalu - ketika Bebe mengadakan konsert di New York's Pier 17 - mengakibatkan penyanyi berkenaan rebah ke lantai dan kemudian dikejarkan ke hospital dan seterusnya menerima beberapa jahitan di atas mata kirinya.

Siasatan awal oleh polis New York menunjukkan lelaki itu sengaja melemparkan telefonnya ketika pertunjukan tamat.

Penyerang itu dinamakan sebagai Nicolas Malvagna, berusia 27 tahun dari New Jersey.

BBC melaporkan, Malvagna didakwa pada 19 Jun lalu dengan dua pertuduhan iaitu menyerang pada tahap ketiga, satu pertuduhan gangguan pada tahap kedua, satu pertuduhan gangguan teruk di tahap kedua, dan satu pertuduhan cubaan menyerang pada tahap ketiga.

Menurut pejabat Peguam Daerah Manhattan, Malvagna mengaku membaling telefon dan memberitahu seorang pegawai polis di tempat kejadian: “Saya cuba melihat sama ada saya boleh baling dia dengan telefon pada penghujung pertunjukan kerana ia akan menjadi kelakar.”

Kes Malvagna akan disambung pada 1 Julai ini.

Sementara itu, Bebe atau nama asalnya Bleta Rexha berkongsi imej memaparkan matanya pada bahagian kiri yang bengkak dan luka serta jahitan yang diterima buat peminat di Instagram.

Walaupun mengalami kecederaan, Bebe, 33, memberi bayangan pada salah satu imej serta ruangan kapsyen bahawa dirinya sedang beransur pulih dengan menunjukkan ibu jari sebagai “tanda baik” (thumbs up).

Bebe terkenal dengan lagu pop hits seperti I’m Good (Blue) duet bersama DJ David Guetta dan Heart Wants What It Wants.

Dia juga menulis beberapa lagu yang menjadi hits untuk barisan penyanyi popular seperti Eminem menampilkan Rihanna (The Monster) serta Selena Gomez (Like A Champion).

Bebe dijadual mengadakan jelajah konsertnya di UK pada Julai ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS