Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zunar sambut baik tawaran bikin skrip untuk filem baru Anwar

Penerbit eksekutif filem Anwar: The Untold Story, Zunar, sedia memberi pertimbangan ke atas pihak yang menawarkan diri untuk menulis skrip filem baru mengenai perdana menteri ke-10 itu.

Zunar mendakwa ada ramai orang yang menawarkan diri untuk menulis kisah Anwar Ibrahim secara lengkap dan menyambut baik minat yang ditunjukkan mereka.

“Kalau ada yang nak bantu, tawarkan diri buat kajian dan skrip, saya alu-alukan,” kata kartunis itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Pun begitu, Zunar - atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque - menjelaskan pihak produksi perlu terlebih dulu jelas dari sudut mana penceritaan yang ingin dimasukkan nanti.

“Filem Anwar: The Untold Story bukan kisah biopik mengenai Anwar. Ia hanya meliputi satu aspek iaitu bagaimana Anwar melawan rasuah.

“Jadi, pihak produksi perlu jelas mereka nak buat angle yang macam mana,” katanya.

Bagaimanapun, Zunar yang turut bertindak sebagai penulis cerita asal filem Anwar: The Untold Story berkata, pihaknya setakat ini belum memutuskan sama ada akan bergerak untuk menerbitkan filem baru mengenai Anwar.

Katanya ada beberapa faktor yang diambil kira termasuk masa yang panjang serta sumber yang besar.

Saari Sungib

Pada 23 Mac lalu Malaysiakini melaporkan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib, sedia membantu menghasilkan skrip kisah lain mengenai Anwar jika ada pihak mahu menerbitkan filem berkenaan.

Kata Saari dia bersedia menyiapkan skrip kisah Anwar khususnya membabitkan hubungan baik perdana menteri ke-10 Malaysia itu dengan Dr Mahathir menjelang krisis pemecatan pada 1998.

Saari merupakan antara watak penting yang bersama Anwar ketika era Reformasi dan pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas pembabitannya dalam kempen membela presiden PKR berkenaan.

Anwar: The Untold Story yang mendapat arahan Viva Westi itu mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 18 Mei lalu.

Filem itu berkisahkan jatuh bangun perjuangan Anwar dalam dunia politik terutama melawan rasuah. Filem yang diusahakan sejak Ogos 2011 itu bagaimanapun hanya berlatarbelakangkan tempoh dari 1993 hingga Sept 1998.

Anwar: The Untold Story dijayakan barisan pelakon seperti Farid Kamil yang membawa watak sebagai Anwar, Acha Septriasa (Wan Azizah), Saskia Chadwick (Nurul Izzah), Dewi Irawan (ibu Anwar) dan Piet Pagau (bapa Anwar).

Kata Zunar lagi, sekiranya filem berkisahkan Anwar yang baru bakal diterbitkan lagi, produksi sudah tiada kekangan untuk menggunakan khidmat pengarah dan pelakon tempatan.

Menurut Zunar dia mempunyai alasan tersendiri apabila menggunakan khidmat pelakon dan kru dari negara luar bagi menyiapkan filem tersebut.

“Filem itu menjalani penggambaran dua tahun lalu. Ketika itu keadaan politik di Malaysia memang tak mengizinkan untuk kami menggunakan khidmat anak tempatan keseluruhannya.

“Kami guna pengarah dan pelakon luar bukan kerana orang kita tak berkebolehan, cuma keadaan tak mengizinkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS