Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Semakin dikenali selepas dikecam pihak tertentu, komika Ayim Razak berkata, pada asalnya dia tidak berniat untuk 'membahan' mana-mana parti politik dalam persembahannya.

Sejak dulu, katanya, dia lebih selesa berjenaka dengan membahan semua pihak yang dirasakan sesuai, termasuk parti politik tanpa mengambil kira kerajaan atau pembangkang.

Bagaimanapun, ekoran reaksi penyokong PAS dan PN yang dilihat semakin ketara, kata Ayim, dia pun terfikir: Alang-alang sudah membahan dan disalah erti, apa salahnya teneruskan pendekatan tersebut.

Semasa menjadikan isu bekalan air bersih Kelantan sebagai salah satu kata pikat (punch line) dalam persembahannya, dia memang tidak memetik mana-mana parti politik.

Pun begitu, pemilik nama penuh Abdul Rahim Razak itu berkata ramai “walaun” yang melenting.

Walaun-walaun itu yang melebih-lebih komen... sedangkan saya tak ada serang mana-mana parti politik pun.

“Maka dari situ saya pun terfikir: why not attack (mengapa tidak serang) terus mereka saja,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod walaun adalah gelaran yang digunakan sesetengah pihak kepada penyokong PAS. Ia berasal dari perkataan walak.

Cari balik video lama

Dari detik itu, bekas peserta program Gegar Lawak berkenaan mendapat ilham untuk 'membahan' PAS dengan isu lain pula iaitu konsert Coldplay dan tuntutan kerajaan Kedah ke atas Pulau Pinang.

“Saya tak ada niat nak sentuh mereka, cuma komen-komen walaun itu bagi saya bahan untuk melawak, sampai saya boleh adakan show sendiri, Alamak Ayim Viral," katanya.

Nama Ayim tidak begitu dikenali sebelum ini sehinggalah klip jenakanya mengenai isu semasa secara spontan menarik perhatian ramai.

Klip tersebut kemudian tular dengan 'bantuan' sesetengah peminat politik yang menggunakan media sosial.

Ia turut mendapat perhatian pengarah dan pelakon terkenal, Afdlin Shauki.

Kata Ayim, dia percaya jenakanya yang menyentuh PAS mungkin menyebabkan ada penyokong parti itu mahu bertindak balas dengan mencari video-video lamanya.

Justeru baru-baru ini dia dikecam kerana kononnya mempersenda agama dengan menyalahgunakan perkataan “insya-Allah.”

“Dua video jenaka berkenaan mengenakan PAS dan mungkin ada orang yang marah sangat sampai cari video lama saya mengenai perkataan insya-Allah.

“Video itu kemudian mereka sunting dan sebarkan di media sosial untuk menunjukkan saya seperti permainkan agama,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayim, 27, berkata dia sebenarnya tidak memihak kepada mana-mana parti baik sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Menurutnya, semasa di atas pentas dan beraksi dia akan cuba menyeimbangkan isi yang dipersembahkan.

Dia juga menafikan bermain dengan sentimen tertentu untuk mewujudkan kebencian.

“Saya tak ada mainkan sentimen negeri, masalah air paip di Kelantan itu memang realiti.

“Kalau saya buat stand up, biasanya hentam dua-dua iaitu kerajaan dan pembangkang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS