Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemuisi anjur Konpes libatkan 200 kerabat pemuisi sedunia

Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) akan menganjurkan Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES) kali kedua di di Bachock, Kelantan pada September depan.

Penaung PEMUISI Hamad Kama Piah Che Othman berkata KONPES yang dijalankan secara fizikal itu dijangka disertai kira-kira 200 peserta dari 20 negara antaranya Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Rusia, China, Belgium, Korea dan Belanda. 

"KONPES diadakan untuk mempertemukan semua pemuisi seluruh dunia daripada pelbagai peringkat umur dan kesemua Kerabat Pemuisi Sedunia ini akan menyampaikan puisi mereka dalam Bahasa Melayu.

"Pada tahun lepas, KONPES telah diadakan buat kali pertama tetapi secara dalam talian ekoran penularan COVID-19 dan ia telah disertai 14 negara kerabat puisi dari seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Hamad Kama Piah berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Puisi Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ketiga bertema 'Puisi Insani, Melestarikan Malaysia MADANI' yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.

gambar hiasan

Menurutnya, selain persembahan puisi, konvensyen yang akan diadakan selama tiga hari itu turut melibatkan beberapa program lain antaranya pembentangan kertas kerja dalam kalangan Kerabat Pemuisi Sedunia dan lawatan ke lokasi kebudayaan sekitar Kelantan.

Katanya, KONPES merupakan satu daripada 47 program tahunan yang telah dirancang PEMUISI bagi mendekatkan puisi pada masyarakat sekaligus mengangkat aset warisan negara itu agar ia dapat terus diwarisi generasi muda di dalam dan luar negara.

"Selain itu, Hari Puisi Malaysia juga merupakan acara tahunan yang PEMUISI anjurkan dan pada tahun ini Melaka menjadi tuan rumah dengan penyertaan kira-kira 200 pemuisi di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS