Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aset produksi filem, TV milik Khazanah tak pernah dijual

PARLIMEN | Kerajaan tidak pernah menjual aset kompleks produksi filem dan televisyen seluas 49 ekar di Iskandar Puteri, Johor Bahru, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.

Jelasnya, aset tersebut masih kekal dalam milikan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan dipegang anak syarikat bertujuan khas (SPV), Tanjung Bidara Ventures Sdn Bhd.

"Apa yang berlaku ialah penjualan saham syarikat pengendali operasi studio (studio operator), iaitu (kepada) Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd (IMS)," katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli parlimen Bukit Mertajam itu berkata demikian sebagai menjawab soalan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar).

Dzulkarnain meminta menteri kewangan menyatakan rasional di sebalik langkah “penjualan” aset kompleks produksi filem dan televisyen IMS kepada sebuah firma Singapura.

Menurut Sim, langkah itu merupakan inisiatif Khazanah untuk mencari rakan kongsi baru yang dapat mengendalikan operasi studio dengan lebih baik.

Katanya IMS sebagai syarikat pengendali studio hanya memajak tanah dan bangunan sehingga tahun 2036.

"IMS membawa impak kepada ekonomi setempat berjumlah RM1.2 bilion dan membuka lebih 8,000 peluang pekerjaan sejak mula beroperasi pada Jun 2014.

"Bagaimanapun, IMS juga menghadapi cabaran dari segi kemampanan kewangan (financial sustainability) dan ia diburukkan lagi dengan kesan kepada industri perfileman akibat pandemik Covid-19.

"Sekiranya Khazanah kekal sebagai pemegang saham IMS, Khazanah harus terus menyalurkan sokongan kewangan kepada syarikat itu dengan anggaran kerugian sehingga RM14 juta setiap tahun," katanya lagi.

Oleh itu, tambah Sim, Khazanah membuat keputusan perniagaan untuk meneroka kerjasama dengan pihak yang dapat mengendalikan studio tersebut dengan lebih baik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS