Menerima kecaman dengan hati yang terbuka, penyanyi rap Bunga Isme berazam menjadikan komen negatif itu sebagai pembakar semangat untuk dia melangkah dengan lebih berjaya.
Katanya, dengan pelbagai kritikan dan sindiran yang diterima, dia mahu membuktikan pemilihannya sebagai artis pembuka panggung konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour bukanlah suatu kesilapan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Bunga berkata dia akan menggunakan kesempatan diberikan itu bagi melonjakkan namanya dalam industri tempatan mahupun luar negara.
“Ya, saya ada membaca komen-komen di media sosial hari ini dan memang sedar perkara (komen negatif) itu. Ramai yang tertanya-tanya mengapa Bunga?
“Memang bersyukur sangat diberi peluang, cuma saya pun tak tahu kenapa.
“Tapi apa yang saya tahu, kritikan mereka menambah semangat untuk saya buat terbaik bersama band mengiringi Bunga, The Kerek nanti.
“Jadi saya harap dengan peluang itu nanti peminat muzik akan lebih mengenali siapa Bunga dan muzik yang apa yang dibawa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu Malaysiakini menyiarkan laporan berhubung sesetengah peminat Coldplay yang 'bengang' apabila dimaklumkan bahawa Bunga menjadi artis undangan band dari United Kingdom itu.
Peminat membanjiri ruangan komen di Instagram penganjur konsert Coldplay untuk menyatakan keluhan kerana tidak mengenali siapakah Bunga, serta menggesa mereka untuk melanjutkan persembahan kepada dua malam.
Coldplay: Music of the Spheres World Tour dijadual menemui penonton di Stadium Bukit Jalil pada 11 Nov depan.
Sesetengah pihak pula mendakwa mereka tidak begitu terkejut dengan pemilihan Bunga kerana kedua-duanya bernaung di bawah syarikat label yang sama.
Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 23, bagaimanapun mengakui sedikit sebanyak kecaman yang diterimanya menggores hati.
“Ada rasa down (murung) sekejap. Bunga akui memang ramai,” katanya.