Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ada yang rengsa Bunga Isme dipilih 'menyibuk' di konsert Coldplay
Diterbitkan:  Jun 12, 2023 2:23 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Nama Bunga Isme hari ini diumumkan sebagai penyanyi undangan bagi pembukaan konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour di Bukit Jalil pada 22 Nov depan.

Namun reaksi yang diterima pihak penganjur nampaknya tidak seperti yang disangkakan mereka.

Ada sesetengah peminat menggunakan ruang komen di Instagram Live Nation Malaysia untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pihak penganjur itu.

Bagi mereka, pengumuman berkenaan dirasakan tidak berbaloi sama sekali, apatah lagi kerana segelintir daripada peminat terbabit mendakwa langsung tidak mengenali siapa Bunga Isme.

“Siapa Bunga ini? Selepas tengok hampir majoriti sis dan bro Malaysia tak kenal Bunga, jadi saya pun nak bertanya,” kata seorang pengguna.

Kekecewaan itu adalah rentetan daripada keluhan peminat tidak berpeluang untuk menyaksikan persembahan band kumpulan kegemaran mereka.

Ia ekoran tiket habis dijual dalam tempoh tiga jam selepas kaunter dalam talian dibuka pada jam 10 pagi, 17 Mei lalu.

Tak sabar menunggu

Senario itu juga didakwa berlaku disebabkan segelintir ‘ulat’ mencari keuntungan dengan menjual semula tiket mereka pada harga yang lebih tinggi.

Justeru, peminat sekali lagi menggesa agar pihak penganjur mempertimbangkan agar band asal United Kingdom itu mengadakan persembahan untuk kali kedua pada malam berikutnya.

Kekecewaan itu menjadi lebih terasa apabila Coldplay mengumumkan mereka bakal mengadakan persembahan selama empat hari di Singapura pada 2024.

“Orang nak hari kedua, bukannya Bunga ke coklat ke apa ke…,” kata seorang lagi pengguna Instagram.

“Singapura dapat empat hari untuk Coldplay, tolong jadikan dua hari (konsert) agar adil bagi Malaysia,” kata pengguna akaun @snhaniza.

Bukan setakat itu, ada juga yang berkata, mereka tidak terkejut dengan pemilihan Bunga untuk diangkat bersama Coldplay berbanding artis lain.

Hal itu kerana Bunga dan Coldplay kini bernaung di bawah syarikat label yang sama.

Terdahulu, Live Nation Malaysia mengumumkan Bunga Isme akan menyertai persembahan di stadium berkenaan sebelum Coldplay - yang terkenal dengan lagu seperti Yellow, Fix You, dan Paradise itu - mempamerkan aksi mereka.

“Flower atau dalam bahasa Melayu, bunga.

“Bintang kecil ini telah berkembang menjadi salah seorang artis wanita kegemaran Malaysia, dan kami tidak sabar untuk melihatnya di atas pentas pada bulan November,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, Bunga Isme atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari ialah penyanyi rap bertudung yang terkenal kerana membuat persembahan bersama berbaju kurung.

Penyanyi itu mula meraih kejayaan komersialnya melalui single sulung berjudul Bunga yang diterbitkan pada 2019.

Selain itu, Bunga dikenali umum melalui satu klip video di YouTube bertajuk 16 Baris bersama penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow yang meraih jumlah tontonan sebanyak 1.4 juta.

Sementara itu, media antarabangsa melaporkan, Coldplay bakal mengadakan lebih banyak konsert di Asia untuk konsert jelajah dunia mereka, Music of the Spheres, termasuk empat hari di Stadium Nasional Singapura, iaitu 23, 24, 26 dan 27 Jan tahun depan.

Jelajah itu juga merangkumi satu persembahan di Philippine Arena, Filipina dan satu persembahan di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS