Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Eizlan sah sertai PAS
Diterbitkan:  Jun 11, 2023 2:22 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

“Ya, saya sudah sertai PAS,” kata pelakon dan pengarah, Eizlan Yusof, susulan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agong PAS Takiyuddin Hassan, semalam.

Katanya, dia menyertai PAS kerana mempercayai perjuangan yang dibawa parti itu bukan sekadar retorik seperti yang digembar-gemburkan pihak lawan.

“Malah selama saya bersama-sama Tan Sri (Annuar Musa) dalam Muafakat Nasional (MN) saya melihat kesungguhannya mahu menyatupadukan rakyat dan perjuangkan Islam dan Melayu tanpa mengenepikan perbezaan agama dan kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Selaku Ketua Penerangan MN Negeri Selangor, Eizlan akui, pengalaman politik lebih 50 tahun pengerusi MN itu memberi aspirasi dan inspirasi untuk bersama-samanya.

Selepas berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Seremban, Takiyuddin mengesahkan menerima penyertaan Eizlan menjadi ahli parti tersebut.

Pada majlis itu, Takiyuddin turut mengumumkan penyertaan Annuar sebagai ahli PAS.

Sebelum ini, Eizlan mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan dia bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) di bawah PAS.

Perkara itu muncul apabila pelakon berkenaan dilihat kerap hadir bersama beberapa tokoh politik dari PN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MN terutama Annuar.

Selain Eizlan dan Annuar, PAS turut menerima keahlian baru lebih 3,000 orang dari seluruh negara, termasuk Fyzal Fauzy, bekas setiausaha sulit kepada bekas menteri luar negeri, PU Raihan dan Dayangku Intan, semalam.

Turut hadir pada acara dihadiri lebih 10,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) ialah Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Annuar pula pada majlis itu berkata, kemasukan selebriti seperti Eizlan dilihat sebagai satu kesedaran daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kalau dulu orang melihat yang menyertai PAS adalah golongan agamawan tapi sekarang ini datang dari pelbagai latar belakang dan juga dokongan dari bukan beragama Islam sendiri.

“Kita akan ada beberapa sesi berasingan pengumuman menyertai PAS bersama Eizlan. Malam ini adalah permulaan kepada gelombang kebangkitan rakyat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS