Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
DJ Lin diiktiraf penyampai radio paling dipercayai sekali lagi
Diterbitkan:  Jun 9, 2023 7:15 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Selepas lebih 24 tahun bergelumang dengan dunia penyiaran tanah air, Pengurus Besar sekali gus penyampai radio Suria FM, DJ Lin, sekali lagi dinobatkan sebagai penyampai radio paling dipercayai di Malaysia.

Anugerah itu diberikan semasa majlis Reader’s Digest Trusted Brands 2023 baru-baru ini.

Dia yang popular menerusi segmen Suria Cinta di stesen radio tersebut berkata, pengiktirafan tersebut menjadi bukti dia masih relevan meskipun berdepan dengan pelbagai pembaharuan dalam industri penyiaran radio.

“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan teruja menerima anugerah berprestij daripada Reader’s Digest buat kali ketiga.

“Perasaan ini sukar untuk digambarkan kerana selepas lebih 24 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air, rakyat Malaysia masih mengundi dan menyokong saya sebagai penyampai radio paling dipercayai.

“Terima kasih buat pihak penganjur, majalah antarabangsa Reader’s Digest dan juga buat keluarga, rakan media, para peminat dari seluruh negara, juga tidak dilupakan keluarga besar Suria FM dan pihak pengurusan Star Media Group Bhd yang banyak berjasa kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai seorang penyampai radio,” katanya dalam kenyataan.

DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid berkata dengan pengiktirafan itu dia akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia khususnya pendengar setia Suria Cinta.

Lebih menarik, anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai bagi tahun ini merupakan anugerah ke-13 buat DJ Lin.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-25 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu yang dipilih dari Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS